Monday, 24 October 2016

Bolehkah Beri Bayi Minum Air Kosong? Ini Jawapan Doktor

Bolehkah Beri Bayi Minum Air Kosong? Ini Jawapan Doktor

minum

Ramai ibu bapa yang tertanya-tanya bolehkah beri air kosong kepada bayi kecil. Persoalan ini dijawab oleh seorang doktor yang menerangkan apa yang berlaku jika beri bayi kecil minum air kosong.

Jom baca:
Soalan

Bolehkah doktor terangkan mengenai kesan memberi air kosong kepada bayi? Mengikut amalan ibu bapa saya bayi perlu diberi air kosong selepas minum susu formula bagi mengelakkan kesan susu pada lidah bayi. Pada umur berapakah bayi boleh diberikan air kosong?

Jawapan

Susu Formula

Selain daripada susu (baik susu badan ataupun susu formula), bayi dari umur 0-6 bulan tidak memerlukan makanan atau minuman tambahan. Ini kerana semua zat dan nutrisi bagi bayi seusia di atas adalah mencukupi sekiranya susu diberikan dengan betul.

Maksud betul itu, bagi bayi yang diberikan susu formula, setiap bancuhan susu itu mestilah mengikut sukatan yang telah dinyatakan dalam tin atau kotak susu berkenaan.

Sebenarnya banyak kes-kes telah dirujuk ke hospital di mana bayi mengalami kekeringan atau dehidrasi disebabkan kesilapan penjaga/ibubapa dalam penyediaan susu.

Dalam kes-kes yang teruk, bayi boleh mengalami sawan dan koma disebabkan gangguan dalam sistem badan bayi di mana bayi mendapat kekurangan zat dan garam galian (elektrolit) seperti Sodium/Potassium/Gula.

Susu Ibu

Walaupun begitu, sekiranya ibu berkenaan bercadang untuk memberikan susu ibu sepenuhnya, masalah di atas tidak akan berlaku. Dan atas sebab di ataslah, jika boleh, kami mencadangkan semua ibu-ibu memberi susu badan kepada bayi sejajar dengan ajaran Islam.

“ Para ibu hendaklah menyusui anak-anaknya selama 2 tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan (Surah Al-Baqarah ayat 233)”

Keburukkan Air Kosong

Berbalik kepada soalan tadi, AAP( American Academic Paediatrics) telah mengeluarkan kenyataan bahawa bagi bayi yang berumur kurang daripada 6 bulan, pemberian air kosong adalah tidak digalakkan dan boleh membahayakan kesihatan dan nyawa bayi tersebut, terutamanya jika bayi berumur serendah 4-5 minggu.

Ada beberapa keburukan pemberian air kosong ini, antaranya adalah:

a) Bayi yang diberikan air kosong akan menyebabkan perut bayi penuh dan tiada selera untuk minum susu lagi. Oleh kerana air kosong tiada nilai kalori yang tinggi seperti susu, bayi akan terbantut pembesaran ataupun tiada peningkatan berat badan.

b) Bayi juga akan kerap tidur dan waktu optima penyusuan bayi dengan ibunya akan berkurangan dan ini akan penyebabkan pengeluaran susu badan ibu akan kurang dan ibu terpaksa memberikan susu formula kepada bayi untuk mengantikan susu badan yang semakin kering atau berkurangan.

c) ’oral water intoxication’ adalah satu penyakit di mana badan mengalami kekurangan garam disebabkan bayi minum terlalu banyak air kosong. Ini akan mencairkan darah dan dalam masa yang sama juga akan mengurangkan paras garam ke paras yang kritikal dan menyebabkan bayi mengalami sawan, koma, kecederaan otak dan jika tidak dikesan awal akan menyebabkan kematian.

Walaubagaimanapun, adalah dibenarkan bagi bayi berusia lebih daripada 6 bulan untuk diberikan air kosong sekadarnya (bukan berlebih-lebihan) dalam sudu ataupun cawan kecil untuk membersihkan kesan susu di lidah bayi tersebut.

Diharap jawapan saya ini dapat memberikan ketenangan dan kemudahan bagi Puan Aishah dalam menjaga anak Puan.

Sekian Terima Kasih

( answered by Dr Azhar Mahmud ) sumber: DoktorBudak.Com

Diharap artikel ini dapat memberi manfaat kepada para ibu bapa tentang minum air kosong. -PENMERAHDOTCOM

The post Bolehkah Beri Bayi Minum Air Kosong? Ini Jawapan Doktor appeared first on PenMerah.com.



from PenMerah.com http://ift.tt/2ef7VXF
via IFTTT