Monday, 19 March 2018

Uji Rashid Dapat Rumah PPR Akibat Kesempitan Hidup..


PETALING JAYA: Selepas dibebani masalah kewangan hingga hampir diusir dari rumah sewa, bintang veteran, Uji Rashid lega apabila menerima kunci pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Subang, di sini, sebentar tadi.

Kesempitan hidup pelakon dan penyanyi era 1970-an itu yang viral selepas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkongsi status di Facebook (FB) mengenai pertemuan mereka, akhirnya mendapat perhatian apabila Uji dibenarkan menghuni pangsapuri terbabit pada kadar sewa RM255.

Mahu menghentikan 'cakap-cakap' orang mengenai kesukaran hidup dan status dikongsi Noh kononnya dia dihalau dari rumah sewa, Uji menjelaskan, apa yang diceritakan adalah realiti yang dihadapinya.

"Saya terdesak, jadi saya bertemu Noh meminta bantuan. Kenyataan saya dihalau dari rumah itu dimuat naik dalam laman FB Noh, tetapi ia ditulis oleh kakitangan beliau.

"Noh secara peribadi memohon maaf kepada saya. Bagi saya, itu bukan kesilapan Noh... Beliau tidak sepatutnya memohon maaf.

"Siapa tidak malu besar apabila dikatakan dihalau dari rumah sewa. Tetapi saya terima, itu takdir hidup saya yang memang dalam

kesusahan... Saya luahkan kepada Noh," katanya ketika ditemui selepas menerima kunci pangsapuri daripada Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, N Jayaselan yang mewakili Noh, di sini.

Sejak minggu lalu, kisah Uji yang dikatakan diarah mengosongkan rumah di Taman Dagang, Ampang, selepas gagal membayar sewa, tular.


UJI dan cucunya, Rindu Norfitrah bergambar di hadapan pangsapuri PPR di Subang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Isu itu menjadi topik hangat netizen apabila Noh berkongsi status di FB mengenai pertemuannya dengan Uji yang ditemani anaknya, Cico Harahap dan cucunya, Rindu Norfitrah, bagi meminta bantuan rumah PPR.

Uji mengaku tidak suka mendengar dakwaan netizen kononnya Noh tidak bercakap benar mengenai keadaan menimpa dirinya.

"Saya bukannya orang politik, jadi saya tidak selesa apabila penderitaan hidup saya dipolitikkan.

"Saya berterima kasih pada Noh dan pegawai kementerian yang membantu saya mendapatkan kediaman selesa tiga bilik ini," katanya.

Uji berkata, dia akan menghuni rumah PPR itu pada kadar sewa RM255 dengan bayaran penyelenggaraan RM50 setiap bulan.

"Saya harus menjelaskan bayaran sewa bulan pertama, cagaran sewa bagi tempoh dua bulan, bekalan air dan elektrik serta dokumen perjanjian sebanyak RM650. Setakat ini, saya belum bayar lagi.

"Insya-Allah, saya akan segera berpindah. Ini kerana tidak mahu dibebankan lagi dengan sewa rumah lama sebanyak RM1,500," katanya.

Mula aktif sejak era 1970-an, Uji dikenali sebagai artis versatil dengan bakat lakonan dan suara merdu. Uji banyak merakamkan lagu duet bersama Hail Amir dan Datuk DJ Dave. Filem lakonannya seperti Permintaan Terakhir, Menanti Hari Esok, Langit Tidak Selalu Cerah dan Yassin masih dikenang sebagai antara karya terbaik Uji.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media http://ift.tt/2DEQo5t
via Merah Hati Cintaku