POLIS sudah berjaya menjejak wanita bergelar ‘Datin’ yang lesap selepas mengaku bersalah mencederakan pembantu rumahnya untuk memastikan dia hadir ke mahkamah dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, usaha menjejak wanita itu dimulakan sejurus mendapat notis daripada pihak mahkamah, bagaimanapun tidak mendedahkan bila notis berkenaan diterima dan lokasi wanita itu.
"Kita guna kaedah tertentu untuk menjejaknya dan dia sudah beri persetujuan untuk hadir ke mahkamah.
"Jangan tanya bilakah dia akan ke mahkamah, tetapi Insya-Allah dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Ditanya mengenai status gelaran ‘Datin’ wanita itu, Mazlan berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan wanita terbabit mempunyai gelaran berkenaan.
"Sepanjang proses siasatan, wanita itu tidak pernah pun menyebut yang dia mempunyai gelaran Datin.
"Anda yang menggelarnya sedemikian," kata Mazlan.
Kelmarin, Rozita Mohamad Ali, 44, dan penjaminnya, gagal hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mendengar permohonan semakan semula hukuman yang dikenakan terhadapnya.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Iskandar Ahmad yang mengendalikan prosiding berkata, pihaknya sudah cuba mengesan Rozita dan penjaminnya di beberapa lokasi sejak Selasa lalu untuk menyerahkan notis untuk hadir ke mahkamah, namun gagal.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 29 Mac ini.
Mahkamah turut memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk mengesan wanita itu.
Semalam, media melaporkan wanita terbabit juga sudah disenarai hitam untuk ke luar negara atas arahan mahkamah.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali yang dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan wanita itu dipercayai masih berada dalam negara.
"Semakan dalam sistem mendapati dia masih berada dalam negara.
"Atas arahan mahkamah, dia tidak boleh meninggalkan negara ini kerana pasportnya sudah disenarai hitam," katanya.
Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun terhadap Rozita atas pertuduhan itu, selain membayar jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Suri rumah itu sebelum ini berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi pertuduhan asal iaitu cubaan membunuh, namun pihak pendakwaan menawarkannya pertuduhan pindaan (menyebabkan cedera parah).
Bagaimanapun, pelbagai pihak tidak berpuas hati, termasuk Pejabat Peguam Negara yang turut memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu lebih 70,000 individu menandatangani petisyen menerusi laman sesawang Change.org setakat ini yang menuntut hukuman lebih tegas.
Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau, batang mop lantai, payung, batang besi, alat mainan kucing serta penyangkut baju, yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang mangsa.
Sumber: BH Online
from Sehinggit Media http://ift.tt/2FVIMl8
via Merah Hati Cintaku