Thursday, 1 March 2018

“Dah Tahu Suami Orang... Jauhkan Diri, Jaga Kelakuan” - Bella Astillah


KEMELUT rumah tangga antara aktres Izreen Azminda, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude dengan isteri pertamanya Intan Liana Saleh turut mendapat perhatian isteri kepada aktor Aliff Aziz iaitu Bella Astillah.

Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 24, yang terkesan dengan berita tersebut berkata seseorang wanita itu seharusnya tahu membatasaan hubungan dengan lelaki yang sudah beristeri.

"Betul ia melibatkan dua pihak tapi dari awal berjumpa mesti sudah tahu suami orang, seharusnya kita tahu limit kita, sebolehnya jauhkan diri dan jaga kelakuan kita.

"Hormatilah hak orang lain terutamanya sesama wanita dan kebahagian orang," ujarnya

Ude dan Intan hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi proses lafaz cerai yang sepatutnya berlangsung pada Rabu lalu namun ia ditanggungkan pada 22 Mac depan selepas peguam mewakili Ude iaitu Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain memohon untuk menyelesaikan beberapa isu tuntutan selepas perceraian.

Ude, 30, memfailkan permohonan berkenaan terhadap Intan pada 30 November 2017. Pasangan itu berkahwin pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Arish Muqri, 3, serta Ariq Muqri, 1.

Pada November lalu, Izreen mendedahkan sudah berkahwin dengan Ude pada 8 Ogos 2017 secara tertutup dan ia dirahsiakan atas permintaan suaminya itu.

Sementara itu, Bella menulis di ruangan komen Instagram rasmi mStar Online iaitu @mstaronlineofficial pada salah satu foto berkaitan berita mengenai hal perpisahan Ude dengan isteri pertama, pada Rabu lalu.

Dia menjawab komen akaun Instgaram ditulis oleh @tuanyasir yang mempertikaikan tindakan netizen kerana hanya menyalahkan aktres Izreen sedangkan perkahwinan yang terjadi itu berlaku disebabkan kehendak kedua-dua belah pihak.

Reaksi diberikan Bella itu kerana dia sendiri pernah melalui pengalaman apabila suaminya Aliff Aziz mengaku curang kerana keluar ke pusat karaoke bersama aktres Afifah Nasir selepas mereka tamat penggambaran pada tahun lalu.

Insiden itu menyebabkan Aliff Aziz ditahan pihak polis selepas didakwa mencederakan Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah ketika wanita itu menemuinya bersama Afifah kelab karaoke berkenaan di Taman Shamelin, Cheras pada 27 Julai lalu.

Aliff yang berasal dari Singapura dan Bella berkahwin pada September 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia setahun.

Pasangan itu ketika ini berada di Milan, Itali kerana Aliff menjalani penggambaran drama Halalkan Hati Yang Ku Cari bagi siaran TV3.

Sumber: Mstar Online


from Sehinggit Media http://ift.tt/2t43NnW
via Merah Hati Cintaku