Saturday, 2 September 2017

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V Sembelih Tiga Ekor Lembu


YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan melakukan ibadah korban dalam Majlis Qurban Jama'ie Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), di Padang Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra, Panji, Kota Bharu, hari ini.

Dalam majlis itu baginda yang berpakaian baju-T dan berseluar sukan meluangkan masa hampir sejam menyembelih tiga lembu termasuk dua baka Brahman seberat 700 kilogram.

Baginda tiba di majlis itu pada 11.15 pagi, sebelum berangkat pulang pada 12.11 tengah hari.


Turut hadir, Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.

Hadir sama Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Rizam Tengku Aziz; Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi.

Sementara itu, Dr Nik Azlan ketika ditemui, berkata 62 lembu dikorbankan dalam majlis berkenaan.

"Inilah korban paling besar di segi jumlah lembu berbanding sebelum ini.

"Daging lembu ini akan diagihkan dengan sistem kupon kepada 1,500 fakir miskin di Kelantan di Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra dan Masjid Muhammadi, petang Sabtu," katanya.

Sumber: Harian Metro


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2x01frO
via IFTTT