Kuala Nerus: “Sudah sembilan kali saya masuk lokap kerana tidak memiliki kad pengenalan, malah saya bagai pendatang di tanah air sendiri,” kata Mohd Razali Abdullah, 33.
Mohd Razali yang kini tinggal di Teluk Ketapang, di sini, bersama abang, Mohd Nasir Abdullah, 35, dan kakak ipar, Haslinda Abdullah, 36, berkata, dia tidak pernah memiliki kad berkenaan sejak kecil.
Disebabkan masalah itu juga, keinginan lelaki terbabit yang kini berniaga jagung bakar di pantai peranginan Teluk Ketapang untuk berkahwin, terbantut.
Mohd Razali yang mesra disapa Ayie berkata, ketiadaan kad pengenalan menyebabkan dia sukar mendapatkan pekerjaan dan bantuan yang disediakan kerajaan.
Sebagai peniaga, katanya, dia sangat memerlukan bantuan bagi mengembangkan perniagaan selain memerlukan lesen memandu untuk bergerak.
“Saya berniaga di merata tempat termasuk di tapak ekspo di luar Terengganu dan setiap kali keluar, saya hanya berdoa semoga Allah lindungi daripada segala kesulitan selain bertawakal,” katanya.
Ayie berkata, dia bersama abangnya sudah beberapa kali ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memohon mendapatkan kad pengenalan tetapi gagal kerana tidak memiliki dokumen kelahiran.
Dia juga pernah membuat carian kelahiran di JPN Kuala Terengganu dan Kuantan namun gagal apabila pihak jabatan berkenaan memaklumkan tidak ada bukti kelahiran yang direkodkan oleh JPN.
“Arwah ayah, Abdullah Ibrahim bekerja sebagai tentera manakala arwah ibu, Hanisah Ali berasal dari Ulu Tiram, Johor.
“Sebagai tentera, arwah ayah sentiasa sibuk dan tidak ada masa untuk menguruskan daftar kelahiran saya ketika itu selain mengakui sikapnya yang terlalu ambil mudah dalam urusan itu,” katanya yang lahir di Muadzam Shah, Rompin, Pahang pada 1984.
Menurut Ayie, dia memiliki kembar perempuan, Azura Abdullah, juga tidak memiliki kad pengenalan, namun sudah meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika darjah lima.
“Saya dan arwah adik memasuki sekolah rendah pada 1991 menggunakan kad pengenalan arwah bapa selain surat sumpah kelahiran yang dibuat bapa di Kuala Terengganu ketika itu.
“Selepas adik meninggal dunia, saya mengambil keputusan berhenti sekolah kerana tidak tahan dengan ejekan kawan berikutan tidak memiliki kad pengenalan,” katanya.
Katanya, dia pernah bekerja di pelantar minyak dengan bantuan rakan pada 2014 tetapi mengambil keputusan berhenti pada 2016 kerana masalah berkenaan.
“Majikan faham dengan masalah saya tidak memiliki kad pengenalan dan gaji saya dibayar menerusi akaun kawan tetapi saya rasa serba salah dan bimbang jika sesuatu berlaku terhadap diri, sukar untuk saya kerana tidak ada status kewarganegaraan yang sah,” katanya.
Berikutan itu, Mohd Razali sangat mengharapkan pihak berkaitan khususnya JPN dapat membantu menyelesaikan masalahnya.
“Kini saya tidak memiliki sebarang dokumen yang boleh menyatakan saya warganegara Malaysia dan surat sumpah juga kini hilang ketika menjadi tahanan lokap di Balai Kuala Terengganu,” katanya.
Sumber: HMetro
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2kbAWJU
via IFTTT