Tidak ramai yang akan mudah memaafkan seseorang yang telah menyebabkan fizikal diri menjadi kehilangan upaya tetapi ada segelintir darinya dengan mudah memaafkan dan menerima takdir diri serta hikmah di sebailknya.
Seorang lelaki bernama David Francisco, seorang pemuzik dari Nashville dengan segera telah memaafkan seorang wanita yang telah menyebabkan dirinya menjadi lumpuh. Apa yang mengagumkan mereka telah menjadi sahabat baik yang memulihkan diri di antara satu sama lain.
Pada 27 April, 2016, Freya Markowski telah memandu secara cuai dan melanggar lampu merah lalu telah melanggar David Francisco yang sedang melintas jalan dengan menunggang basikalnya.
Freya yang telah berhenti mengambil ubat penyakit bipolar berkata pada waktu itu, dia mendengar pelbagai suara semasa sedang memandu dan tanpa sedar telah menekan pedal pada kelajuan 60km sejam dengan tidak menyedari lampu isyarat telah bertukar merah.
David telah dirempuh oleh Freya dan dia telah dikejarkan ke hospital dengan kecederaan tulang belakang dan tidak dapat menggerakkan kakinya.
Freya Markowski memberitahu Tennessean, “Saya berasa seperti telah membunuh seseorang. Saya seperti berada di dalam lubang gelap.”
Beberapa bulan kemudian, Freya juga telah dikejarkan ke wad kecemasan kerana mengambil heroin secara berlebihan. Semasa dalam proses pemulihan, Freya telah menghantar satu mesej meminta maaf yang panjang kepada David.
Freya telah menulis kepada David, “Saya sentiasa dihantui dengan ingatan melihat badan kamu dibasahi darah. Saya sanggup bertukar jantung dengan kamu. Saya sanggup bertukar nyawa dengan kamu. Saya sanggup bertukar tempat dengan kamu. Saya mahu kamu tahu, setiap hari yang berlalu, tiada satu pun yang membuat saya lupa dan tidak bersedih dengan penderitaan kamu.”
David Francisco pula berkata, “Saya telah memaafkannya sejak dari mula lagi.”
Selepas itu, kedua-duanya telah menjalinkan hubungan persahabatan dengan memaafkan satu sama lain. David dan Freya menjadi lebih kuat dan fokus untuk memulihkan diri dengan masalah masing-masing semenjak kemalangan itu.
David berkata, “Saya rasa Freya lebih menderita selepas kemalangan itu. Saya mendapat banyak sokongan untuk pulih. Jadi saya mahu memberikan Freya sokongan untuk pulih.”
Kata David lagi, “Bagi saya, mungkin saya ini terlalu praktikal dan prakmatik. Tidak ada sebab bagi saya untuk berasa marah. Ia hanyalah satu kemalangan yang telah ditakdirkan. Saya tidak pernah marah kepadanya. Saya hanya marah kepada kaki saya.”
Pada hari sebutan kes kemalangan ke atas Freya Markowski dibacakan, tuduhan ke atasnya telah digugurkan dan Freya berasa sangat terkejut.
Menurut Freya Markowski, “Pada mulanya saya ingat saya akan merengkok di dalam penjara. Sebaliknya ada malaikat yang datang menyelamatkan saya. Ayah David telah datang memberikan saya pelukan yang besar. Bagaimana ini mungkin. Ayah kepada anak yang saya telah lumpuhkan?”
Selepas berbalas mesej dan berhubung, kedua-duanya telah membuat keputusan untuk bertemu di sebuah cafe di Nashville Selatan.
Freya Markowski berlari kepada David Francisco dan kedua-duanya melihat satu sama lain selama beberapa minit tanpa sebarang perkataan.
Bagi Freya Markowski, saat itu adalah satu keajaiban, yang mana sebelum ini kemalangan itu telah memberi satu tamparan yang hebat kepada dirinya dan dia tidak dapat memaafkan dirinya kerana telah melumpuhkan David.
Tetapi selepas berjumpa dengan David, Freya berkata, “Saya telah dapat memaafkan diri saya pada pertama kali David memeluk saya dengan tangan yang terbuka.”
Sumber: Era Baru
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2wVRHPa
via IFTTT