Kehidupan pasangan yang telah berkahwin dan tinggal bersama ibu bapa bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dilalui kerana begitu banyak perkara yang harus diambil kira supaya tiada lagi masalah sekeluarga di masa hadapan.
Sebagai seorang menantu sama ada lelaki atau pun perempuan seharusnya bijak untuk menyesuaikan diri dalam suasana yang berbeza dengan keluarga sendiri mengikut acuan yang telah sekian lama terbentuk di rumah ibu dan bapa mertua.
Mahu atau tidak inilah antara perkara yang pasti akan dilalui oleh semua menantu dan para menantu seharusnya tahu untuk menjaga adab, batas serta aurat terutamanya menantu perempuan ketika berhadapan dengan ipar duai dan juga bapa mertua.
Manakala, bilik tidur adalah merupakan satu-satunya privasi yang para menantu ada apabila hanya di bilik tidur sahaja kita bebas melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati serta tidak menutup aurat.
Walau bagaimanapun, satu perkongsian yang dikongsi menerusi Sinar Harian menceritakan bagaimana seorang wanita yang begitu tertekan dengan sikap bapa mertuanya sendiri yang dipercayai terlalu suka ‘menceroboh’ masuk ke bilik tidurnya tanpa meminta keizinan terlebih dahulu seperti mengetuk pintu atau bertanya.
“Saya sudah berkahwin hampir tiga tahun. Sekarang saya tinggal di rumah mertua saya. Saya ada masalah di mana ayah mertua suka sangat masuk bilik saya. Bilik saya baru siap dibuat, pintu tak dipasang lagi.
“Suami sibuk, tak sempat nak beli pintu, jadi saya hanya pasang langsir untuk tutup bilik. Yang saya tak suka, mertua suka sangat selak langsir suka-suka tanpa beri salam terlebih dahulu,” luahnya.
Menurutnya, setiap kali langsir diselak, bapa mertuanya sering memberi alasan untuk mengambil anak yang berada di pegangannya.
“Kadang-kadang dia dah nampak saya baru lepas mandi, dia tetap akan selak langsir semata-mata mahu ambil anak. Situasi begini sudah berlaku banyak kali. Pagi-pagi pun dia akan masuk ke dalam bilik dengan alasan mahu tengok cucu,” katanya lagi.
Tidak tahan dengan situasi sedemikian, dia menyuarakan hasrat untuk hidup ‘berpisah’ daripada keluarga suaminya.
Namun hasratnya itu ditentang ibu mertua yang menghidap pelbagai jenis penyakit.
“Kalau saya keluar, tak ada sesiapa yang akan jaga ibu mertua pula. Sekarang saya mengandung anak kedua dengan usia kandungan lapan bulan dan saya mengalami alahan yang teruk.
“Bila tengah hari, saya akan duduk dalam bilik sebab saya cepat pitam. Bapa mertua pula suka selak langsir bilik semata-mata mahu tahu apa yang saya buat dalam bilik. Saya rasa malu bila orang tengok saya berkemban,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, perkara itu sering diajak berbincang bersama suami, namun apa yang balasan jawapan yang diterima agak kurang memuaskan.
“Saya tanya banyak kali pada suami, kenapa ayahnya buat begitu, suami hanya balas ayahnya anggap saya seperti anaknya. Tapi saya tak suka. Kami selalu bergaduh tentang isu sama,” katanya lagi.
Letih dan tertekan dengan kerenah mertua, dia akhirnya nekad mahu meninggalkan rumah mertua dan memulakan hidup di rumah sendiri setelah bersalin dan habis berpantang.
Namun dia bimbang yang ibu mertua atau bapa mertuanya akan berterusan menyatakan bantahan terhadap hasratnya.
“Ibu mertua pula suka masuk campur hal rumah tangga kami.Letih sungguh saya sampaikan hari-hari menangis. Apa patut saya buat?” soalnya buntu.
Sementara itu, menurut kenyataan yang diterbitkan Bahagian Pengurusan Dakwah,Jabatan Agama Islam Selangor, syarak telah menggariskan golongan yang dianggap sebagai mahram kepada seseorang wanita iaitu suami, ayah, termasuk datuk belah ibu dan bapa dan juga bapa mertua.
Kewajipan menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini seperti rogol dan sebagainya.
Perkara ini terjadi disebabkan memuncaknya nafsu para lelaki akibat dari penglihatan terhadap wanita yang memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka.
Wanita yang bersuami pula, dengan terlaksanakan kewajipan ini, akan dapat membantu suami, yang mana dosa seorang isteri yang membuka aurat akan ditanggung oleh suami.
Oleh itu, wanita-wanita perlulah memahami batas-batas aurat ketika berhadapan dengan orang-orang yang tertentu dalam keadaan yang berbeza-beza.
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2ymqgKt
via IFTTT