Tuesday, 26 September 2017

Sultan Johor Mahu Pemilik Dobi "Hanya Untuk Islam" Mohon Maaf


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, dilapor murka serta menitahkan agar kedai dobi hanya untuk Muslim di Muar, Johor supaya segera menghentikan amalan diskriminasi atau baginda sendiri akan menutup perniagaannya.

"Saya tak dapat terima perkara mengarut ini, ini adalah Johor milik bangsa Johor dan milik semua bangsa dan agama. Ini adalah negeri yang progresif moden dan sederhana."

"Ini bukan negeri Taliban dan sebagai ketua agama Islam di Johor, saya dapati tindakan ini tidak boleh diterima kerana ia bersifat ekstrimis," titah baginda seperti yang dipetik oleh The Star.

Baginda dilapor turut menitahkan pengerusi jawatankuasa hal ehwal Islam, Abdul Mutalip Abd Rahim, Majlis Agama dan Majlis Daerah untuk menyiasat perkara tersebut.

Tambah Baginda Sultan lagi, baginda juga telah bercakap dengan Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin yang juga Exco agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim tentang perkara tersebut.

"Saya mahu pemilik minta maaf kepada saya dan Rakyat Johor. Dia telah buat rakyat Johor berasa sangat marah dan malu, kerana bukan ini Johor yang kita mahu."

"Pemilik ini telah menentang visi penyatuan, keharmonian, kesederhanaan dan toleransi Johor. Sekiranya dia terus mengamalkan amalan hanya untuk Islam seperti itu, dia boleh tinggalkan Johor. Saya cadangkan dia buka kedai di Afghanistan. Fikirannya sakit dan bercanggah dengan segala pendirian Johor."

Baginda Sultan yang dilihat sedih, berkata bahawa baginda dan keluarganya sangat terkejut dengan tindakan pemilik kedai dobi berkenaan. Baginda bertitah sekiranya perkara ini tidak dihentikan ia akan membawa kepada lebih banyak tindakan tindakan berfikiran sempit menggunakan nama Islam.

Gambar kedai dobi berkenaan menjadi tular minggu lalu selepas ia dilaporkan memiliki papan tanda "Hanya Untuk Orang Islam" dibenarkan menggunakan mesin basuh di premis berkenaan.

Menurut Baginda, pada awalnya pemilik meletakkan notis hanya untuk orang Islam, selepas isu itu menjadi kontroversi, dia meletakkan papan tanda baru bertulis "Mesra Muslim"

"Jangan cuba nak jadi bijak, ia tetap masih sama. Pemilik ini perlu dicuci otaknya.

"Saya mahu hentikan extrimism seperti ini. Ekstrimism tiada tempat di dalam negeri saya. Kita bangga menjadi Bangsa Johor, dan Saya nak tahu di mana pemilik kedai dobi ini belajar tentang Islam? Islam mengajar menjadi toleransi dan menghormati orang dan kepercayaan lain," titah baginda di Istana Bukit Serene semalam.

Pada hari Isnin, Putera Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim meluahkan rasa sedih dengan tindakan kedai dobi tersebut sambil bertanya: "betulkah ini? Saya terkejut" di laman sosial Instagram miliknya.

Menurut Baginda Sultan lagi, contohnya masjid-masjid di negeri Johor dibuka kepada orang bukan Islam, selagi mereka berpakaian sopan dan baginda tidak dapat membayangkan bagaimana orang bukan Islam diharamkan daripada memasuki masjid-masjid. Baginda bimbang dengan peningkatan extrimis agama.

"Saya tertanya-tanya di manakah pemilik kedai dobi ini basuh pakaiannya bila dia berada di luar negara? Adakah dia nak kata hanya pakaian orang Islam yang bersih berpakaian bukan Islam tidak bersih? Saya rasa itulah maksud dia.

"Mulai saat ini, saya mengarahkan majlis eksekutif negeri dan semua majlis-majlis untuk memastikan mana-mana pemilik perniagaan yang menjalankan amalan-amalan diskriminasi seperti ini ditarik balik lesen mereka. Jangan buat masaalah dengan prejudis agama kamu yang berfikiran sempit."

Tambahnya lagi, baginda tidak boleh berdiam diri terhadap isu tersebut, sekiranya perkara ini dibiarkan, "lepas ini kita akan ada teksi hanya untuk Islam atau bukan Islam pula,".

Baginda juga tidak mahu bangsa lain melakukan tindakan-tindakan yang serupa. 

Sumber: EdisiRakyat.com


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2yrBzRU
via IFTTT