Sunday, 24 May 2020

Vaksin COVID-19 Mungkin Tidak Akan Ditemui - Saintis Terkemuka AS


WASHINGTON: Seorang saintis terkemuka Amerika Syarikat (AS) yang terbabit dalam penyelidikan inovatif berkaitan kanser dan HIV/AIDS memberi amaran bahawa vaksin COVID-19 'mungkin tidak akan ditemui' ketika jumlah jangkitan di peringkat global meningkat kepada lebih 5 juta.

"Saya tidak meletakkan harapan (vaksin akan ditemui)," kata William Haseltine kepada Reuters.

Sebagai alternatif, Haseltine menyarankan negara-negara yang sudah melonggarkan perintah kawalan atau perintah berkurung untuk bergantung kepada pengesanan jangkitan dan langkah-langkah pengasingan yang ketat untuk mengawal penyebarannya.

Pendekatan itu terbukti berhasil di beberapa negara yang berjaya meminimumkan penyebaran, namun di seluruh dunia, jumlahnya terus meningkat.


Banyak pihak kini berusaha untuk membangunkan vaksin, antaranya Oxford University, selain sebuah firma yang berpangkalan di Massachusetts, Amerika Syarikat yang memaklumkan peringkat pertama ujian terhadap vaksin yang dihasilkan menunjukkan petanda positif.

Haseltine bagaimanapun mengingatkan vaksin yang berjaya dihasilkan sebelum ini gagal melindungi selaput lendir pada hidung, yang merupakan jalan utama bagi virus memasuki tubuh.

Walaupun ujian yang dibuat terhadap beberapa vaksin COVID-19 dikesan dapat mengurangkan viral load pada organ seperti paru-paru, namun jangkitan masih ada.

"Harapan kini terletak pada cara kita mengawalnya.

"Tanpa rawatan atau vaksin, virus itu masih dapat ditangani dengan cara mengenal pasti jangkitan, mencari dan mengasingkan individu yang telah dijangkiti.

"Orang ramai juga harus sentiasa memakai topeng, mencuci tangan, membersihkan permukaan dan melakukan penjarakan sosial," kata Haseltine.

Sumber: Astro Awani


from Sehinggit Media https://ift.tt/2TAN3iQ
via Merah Hati Cintaku