Saturday, 23 May 2020

Aidilfitri Paling Sedih Buat Lima Beradik Yatim Piatu


BUTTERWORTH: Aidilfitri yang akan disambut pada hujung minggu ini tidak lagi seindah sambutan sebelum ini bagi lima beradik yang kehilangan ibu dan ayah tersayang.

Bergelar yatim piatu bukan kehendak mereka, namun, takdir telah menentukan bahawa Nur Afni Nirwana Khairizul dan empat orang adiknya harus kuat dan kental meneruskan kehidupan tanpa kehadiran orang tua pada usia yang sangat muda.

Ketika rakan-rakan lain berpeluang bermanja dengan ibu dan ayah masing-masing menjelang lebaran, Nur Afni, 16, beserta adik-adiknya Nur Istna Nadira,14, Nur Erna Nabila, 12, Nur Qurratul Ain, 7 dan Muhammad Khairi Zafran, 2, hanya berpeluang menumpang kasih dengan datuk dan nenek mereka.

Pada 9 Februari lalu, bapa mereka, Khairizul Mohamad Noor maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta dipandu seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk dekat susur keluar Prai pada 9 Februari lalu.

Sementara ibu kepada lima beradik itu, Zuriana Hassan pula menghembuskan nafas terakhir selepas dua bulan koma di Hospital Seberang Jaya.

Nur Afni yang juga kakak sulung kepada adik-adiknya itu ketika ditemui di rumah datuknya di Jalan Mohd Saad, di sini mengakui, Aidilfitri tahun ini bakal disambut dalam suasana yang menyedihkan bersama empat adiknya kerana tiada ibu bapa di sisi seperti orang lain.


Malah, menurut Nur Afni, tiada lagi tema baju raya untuk dia dan adik-adiknya untuk tahun ini memandangkan mereka tidak keluar membeli-belah bersama seperti tahun lalu.

"Tahun ini rasa macam sedih juga la sebab raya tanpa mak ayah, rasa macam tak seronok. (Sebelum ni) merata jugalah mak bapa bawa pi (pergi) beli baju raya tapi sekarang Maksu (ibu saudara) bawa pi beli baju raya... saya rasa macam sunyi tak seronok," kata Nur Afni.

Nurliana, 25,  yang juga ibu saudara Nur Afni mengambil tugas menyiapkan persalinan lebaran  buat lima anak saudaranya itu.

Dalam masa sama, Nur Afni bersyukur kerana keempat-empat adiknya, tidak merungut walaupun mereka tidak akan memakai baju sama warna tahun ini.

Kedatangan Hari Raya Aidilfitri kali ini juga amat sayu dan menyentuh hati Nur Afni kerana tidak lagi berpeluang menikmati kuih samperit yang juga kegemaran Allahyarham ibunya.

"(Arwah) mama suka sangat kuih samperit... (arwah selalu) beli sebab dia tahu anak-anak suka makan kuih itu," kata Nur Afni mengenang kuih kegemaran ibunya setiap kali tiba Syawal.

Sementara itu, nenek kepada lima beradik yatim piatu itu, Asma Laili Muhammad, 58, tidak dapat menyembunyikan kesedihan kerana Aidilfitri kali ini disambut tanpa kehadiran arwah Zuriana yang paling ceria dalam keluarga.

"Tiap-tiap tahun memang seronok la (sambut) raya. Anak makcik (Allahyarham Zuriana) paling ceria sekali dalam adik-beradik semua.

"Kehilangan dia memang makcik rasa sangatlah. Tambahan pula suami dia memang makcik anggap macam anak makcik sendiri, dia memang sayang dan bawa makcik ke sana ke sini tahun ni takdak (tiada) dah la," ujar Asma Laili berkongsi kenangan dengan arwah anak dan menantunya.

Dalam kemalangan 9 Februari lalu, Khairizul meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya menghembuskan nafas terakhir selepas dua bulan koma di Hospital Seberang Jaya.

Sumber: Astro Awani


from Sehinggit Media https://ift.tt/36qg2uW
via Merah Hati Cintaku