ARAK terbukti menjadi ibu segala kejahatan. Minuman beralkohol itu bukan sahaja merosakkan akal fikiran dan kesihatan badan bahkan meruntuhkan institusi keluarga serta membawa mudarat kepada masyarakat dan negara.
Malah, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, menyifatkan arak lebih berbahaya daripada serangan pengganas dan jangkitan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS). Ini kerana tiga juta orang maut di seluruh dunia akibat minum arak, kata beliau dua tahun lalu.
Kejadian seorang kakitangan Alam Flora maut dilanggar seorang pemandu dipercayai mabuk dalam kemalangan di Kuantan, Pahang malam kelmarin adalah manifestasi kerosakan yang berpunca daripada arak.
Ini bukanlah kejadian pertama tahun ini dan bukan juga kali pertama desakan supaya pemandu mabuk dikenakan hukuman lebih berat.
Mengikut undang-undang sedia ada, pemandu mabuk boleh didenda RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan. Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah sekadar didenda maksimum RM10,000 atau penjara 12 bulan.
Sesetengah pihak berpendapat pemandu mabuk hanyalah simptom kerana penyakit sebenar adalah minuman beralkohol tersebut.
Atas alasan itu, mereka mendesak kerajaan mengambil langkah drastik mengharamkan arak atau setidak-tidaknya mengenakan cukai yang lebih tinggi ketika Malaysia tersenarai antara negara paling banyak mengambil alkohol di dunia.
Statistik WHO menunjukkan rakyat Malaysia membelanjakan lebih RM2 bilion untuk minuman beralkohol pada tahun 2016.
Undang-undang berkaitan arak di Malaysia dianggap longgar, tidak seperti di sesetengah negara lain. Di Singapura, contohnya, tiada penjualan atau aktiviti minum arak dibenarkan selepas jam 10.30 malam dan tindakan keras akan dikenakan jika rakyatnya berbuat demikian.
Namun begitu, arak bukanlah isu perkauman walaupun ia sering dikaitkan dengan orang bukan Islam. Ketagihan arak adalah penyakit sosial yang dideritai segelintir anggota masyarakat yang gagal mengawal ketagihan terhadap arak.
Maka, antara arak dan pemandu mabuk, kerajaan haruslah tegas menangani kedua-duanya.
Sumber: Sinar Harian
from Sehinggit Media https://ift.tt/2AdkPni
via Merah Hati Cintaku