KUALA LUMPUR – Seorang penghantar makanan Food Panda yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut selepas dirempuh oleh pemandu kereta yang di bawah pengaruh alkohol awal pagi tadi.
Nahas itu berlaku kira-kira jam 1.30 pagi di Lebuh Raya Iskandar menghala ke Kuala Lumpur.
Semasa berada di kawasan tersebut, motosikal yang ditunggang oleh mangsa, Mohamed Zaili Mohamed, 44, dirempuh dari arah belakang oleh pemandu lelaki yang memandu kereta Nissan Livina.
Katanya, semasa kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa selepas menghantar makanan yang dijual oleh isterinya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, ACP Dzulkefly Yahya berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa terbabas di bahu kiri jalan dan motosikal yang ditunggangnya diseret sejauh lebih kurang dua kilometer dari lokasi dilanggar.
Pemandu berkenaan hanya memberhentikan kenderaan yang dipandu di bawah jejantan Stesen LRT Titiwangsa selepas ditahan orang awam.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan maut di lokasi kejadian.
Pemandu kereta yang berusia 21 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pekerja kedai aksesori itu kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik di Jalan Tun HS Lee dan menjalani saringan ujian pernafasan dan didapati positif alkohol.
Dia kini ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1983.
Sumber : MalaysiaGazette
from Sehinggit Media https://ift.tt/2MjzekG
via Merah Hati Cintaku