Saturday, 23 May 2020

Tanggungjawab Individu Penentu Kejayaan Negara Bebas COVID-19 - PM


Setiap individu perlu memiliki tanggungjawab tinggi untuk mematuhi peraturan kerana ia penentu kejayaan buat negara bebas daripada pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata biarpun rakyat terpaksa menyambut kegembiraan Aidilfitri esok dalam suasana terhad dan berbeza, semua ini adalah pengorbanan cukup besar semua pihak.

Bermula sekarang, beliau berkata, semua individu terutama pimpinan dalam masyarakat dan komuniti memikul tanggungjawab lebih besar, selain barisan hadapan untuk mengawal penularan COVID-19 sebagai langkah 'exit plan' sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dihentikan.

"Tiada siapa lebih mampu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini selain kita. Jika kita tidak mahu dijangkiti, kita harus di sepanjang masa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) peribadi.


"Seperti memeriksa suhu badan untuk mengetahui kita tidak demam, penjarakan sosial sebagai satu kemestian, kebersihan diri dengan membasuh tangan menggunakan sabun dan sanitizer seberapa kerap yang boleh dan memakai pelitup muka sepanjang masa apabila berada di luar rumah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas Aidilfitri Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen, malam ini.

Muhyiddin berkata, penting bagi semua pihak menegur dan mengingatkan sesama mereka mengenai usaha pencegahan dan meletakkan ia satu kewajipan bersama.

"Hanya apabila ini sudah jadi resam biasa kita, maka barulah kerajaan dapat memutuskan bila PKPB ini tidak dikuatkuasakan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan keputusan dibuat kerajaan mengenai garis panduan hari perayaan sebelum ini, bersandarkan kepada prinsip maqasid syariah iaitu memelihara nyawa.

Muhyiddin juga menasihatkan setiap ahli keluarga berbincang untuk mengadakan ziarah Aidilfitri bagi mengelakkan pengumpulan ramai orang selain elakkan bersalaman dan bersentuhan.

Diakhir ucapannya, Muhyiddin turut menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan dan semua rakyat yang sentiasa memberikan sokongan padu dan kerjasama kepada kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2LWBXAg
via Merah Hati Cintaku