PUTRAJAYA: Sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengambil tanggungjawab memikul tugas membendung penularan wabak COVID-19 untuk memberi peluang petugas barisan hadapan 'berehat', kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata sekiranya rakyat memainkan peranan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka, menyukat suhu badan dan amal penjarakan sosial sepanjang masa, beban tugas yang dipikul petugas barisan hadapan ketika ini dapat dikurangkan.
"Kita (petugas barisan hadapan) selama berbulan-bulan ini kita ambil langkah ke hadapan sebagai frontliners (petugas barisan hadapan), tetapi 'slowly but surely' selepas ini rakyatlah harus memikul tanggungjawab untuk menentukan supaya wabak COVID-19 ini tidak menular.
"Sebagai contoh kalau di Putrajaya semua Presint (dikategorikan zon) hijau, jadi mereka (penduduk) mesti kekalkan (zon) hijau dan ini bukan beban tugas KKM atau frontliners tetapi yang penting kepada penduduk yang berada di kawasan ini untuk menjaga, memelihara, supaya wabak itu tidak berlaku lagi di kawasan masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang video kira-kira 30 minit bersama wakil petugas barisan hadapan yang terbabit dalam menangani COVID-19.
Sidang video itu disertai wakil Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen; Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pimpinan setempat perlu memainkan peranan mulai sekarang untuk memastikan penduduk sudah bersedia secara berperingkat untuk menjaga komuniti mereka sebelum kerajaan memutuskan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) satu masa kelak.
"Rakyat harus ke depan untuk memainkan peranan juga, ini pendekatan yang kita akan ambil mulai daripada sekarang supaya lepas ini kita (petugas barisan hadapan) boleh relaks sikitlah, rehat sikitlah kerana sekarang ini gayanya kerja sampai tidak ada masa hendak balik ke rumah masak ketupat, tolong isteri, sebab beban kita begitu banyak sekali.
"Tetapi saya jangka mungkin ke hadapan nanti, akan kita buat secara berfasa-fasa supaya tidaklah kita (frontliners) menanggung segala tugas dan tanggungjawab terletak 100 peratus di atas bahu kita," katanya.
Dalam sidang video itu, Muhyiddin turut menzahirkan ucapan terima kasih atas peranan dan sumbangan yang dicurahkan oleh petugas barisan hadapan selama ini dan turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir dan batin kepada semua yang terbabit. – BERNAMA
from Sehinggit Media https://ift.tt/3e31ML8
via Merah Hati Cintaku