SIK: Hawa Mat Hussin yang berusia 74 tahun dari Kampung Lubuk Tualang di sini tabah menyambut Aidilfitri seorang diri tahun ini apabila anak tunggalnya tidak dapat balik berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Memang sedih beraya seorang diri, tetapi apakan daya kita perlu ikut perintah kerajaan," katanya kepada BH Online.
Hawa berkata anak tunggalnya, Mohd Khairul Azhar Naim, 36, tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri bersamanya tahun ini berikutan PKPB, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.
Katanya, dia tidak dapat bertemu anaknya yang bekerja kilang di Pulau Pinang sejak Mac lalu.
"Selama sebulan juga saya berbuka puasa seorang diri, selalunya anak saya akan balik dua minggu sekali, tapi kali ini saya kuatkan semangat walaupun perasaan rindu terutama kepada empat cucu.
"Setiap tahun mereka akan pulang dua hari sebelum raya, tiada aktiviti membakar lemang bersama anak dan menantu seperti kebiasaan tahun sebelum ini.
"Sunyi memang sunyi, saya akan ke rumah saudara-mara serta jiran, Alhamdulillah Allah masih beri kesihatan yang baik untuk saya untuk berjalan dan melakukan kerja," katanya.
Hawa yang kematian suami sejak 15 tahun lalu menyara hidup dengan menoreh getah dengan pendapatan kira-kira RM280 sebulan selain anaknya turut memberikan duit untuknya setiap bulan.
Katanya, persiapan Aidilfitri tahun ini dibuat ala kadar dengan membeli beberapa jenis kuih selain menyediakan kari ayam untuk dimakan bersama ketupat dan lemang.
"Lemang tahun ini jiran saya yang tolong buat, baju raya pula hanya sepasang, saya bersyukur ramai yang mengambil berat.
"Saudara mara terdekat, jawatankuasa masjid serta penduduk kampung banyak membantu menghulurkan wang tunai serta makanan asas," katanya.
Sumber: BH Online
from Sehinggit Media https://ift.tt/2zt5oYj
via Merah Hati Cintaku