Wednesday 27 May 2020

Enam Penghantar Makanan Tak Mengaku Salah Merusuh


PETALING JAYA - Seramai enam penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rusuhan pada Isnin minggu lalu.

Kesemua tertuduh, Muhammad Hafiz Yusnan, 21; Muhamad Izzat Abd Bari, 22; Mohd Syukri Achyar, 39; Wan Hafizie Wan Hanapi, 28; S Jaya Nantha Kumaran, 31; dan Amirul Zahari Zailani, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama 10 individu yang masih bebas didapati melakukan rusuhan di sebuah restoran di Bandar Puteri, Puchong pada jam 6.20 petang, 18 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim mencadangkan ikat jamin bagi setiap tertuduh sebanyak RM 5,000.

Bagaimanapun kesemua tertuduh merayu, kadar jaminan paling minima kerana tidak berkemampuan.

Nor Ariffin menawarkan RM 2,500 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 13 Julai depan sebagai sebutan semula kes.

Minggu lalu, satu video berdurasi 58 saat tular di Facebook memaparkan seorang lelaki menendang seorang wanita yang juga penghantar makanan di Bandar Puteri, Puchong.

Susulan kejadian itu, beberapa penghantar makanan dilihat berkumpul di hadapan premis terbabit bagi menunjukkan protes.

Sumber: Sinar Harian


from Sehinggit Media https://ift.tt/2TFUVPW
via Merah Hati Cintaku