Tuesday, 31 March 2020

"Wang RM250,000 Dicuri Milik Peribadi & Ibu Bapa Saya" - Syed Saddiq


KUALA LUMPUR: Wang yang dicuri dari rumah Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kelmarin adalah milik peribadi beliau dan ibu bapanya.

Syed Saddiq berkata, mereka membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang itu yang mana RM90,000 adalah miliknya; RM50,000 (ibunya) dan RM70,000 (bapanya).

“Majoriti wang itu dikeluarkan bagi tujuan pengubahsuaian rumah yang kami miliki bersama dan juga untuk tujuan peribadi.

“Sampai sekarang saya tidak memiliki sebuah rumah. Dengan itu saya Abuyah (bapa) dan Mama mengambil keputusan membeli rumah bersama.

“Dan saya berhasrat berpindah selepas rumah itu siap diubahsuai. Pengubahsuaiannya masih belum siap, perkakasan elektrik dan perabot juga belum dibeli,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Syed Saddiq mengesahkan kecurian berlaku di kediamannya dan polis sudah membuat siasatan di rumah sejak malam kelmarin.


Bagaimanapun, beliau mendakwa, laporan media sebelum ini bahawa kehilangan RM250,000 milik wang BERSATU, adalah tidak benar.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, tiada apa yang ingin disembunyikan, malah mereka sekeluarga membuat laporan polis berhubung kecurian itu.

“Saya dan keluarga tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Malahan kami sendiri yang membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang.

“Sekiranya benar duit itu duit haram, kenapa kami membuat laporan polis?

“Saya ambil maklum akan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat dan faham akan tugas SPRM dalam menyiasat segala tuduhan dan laporan,”

Tegasnya, beliau akan memberikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan SPRM.

“Saya sudah mengarahkan pegawai saya untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan kepada mereka yang memfitnah saya dan keluarga dengan cubaan untuk mengaitkan kes ini dengan duit haram atau wanita yang dikatakan bersama saya.

“Ini adalah fitnah untuk menjatuhkan reputasi saya dan keluarga. Saya juga tidak akan berkompromi perkara berkenaan integriti dan kami sekeluarga akan memberi kerjasama penuh dalam membantu pihak polis dan SPRM.

“Saya harap semua pihak berhenti berspekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa membuat siasatan,” katanya.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2Js6PHR
via Merah Hati Cintaku