KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 gelandangan di ibu kota akan ditempatkan di tiga kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata langkah menempatkan gelandangan di tiga kem iaitu di Kuala Kubu Bharu, Semenyih dan Sepang itu bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menguruskan proses penempatan mereka termasuk memberi keperluan harian seperti makanan.
“Kami sedia maklum golongan ini tidak mempunyai tempat tinggal sepanjang PKP dilaksanakan, justeru itu, DBKL mengambil usaha proaktif bagi memastikan golongan ini tidak dipinggirkan.
“Penempatan mereka di kem ini akan dibuat berdasarkan kategori seperti status tahap kesihatan dan warganegara,” katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini, hari ini.
Nor Hisham berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta beberapa agensi lain akan membantu membawa gelandangan ini ke tempat yang telah disediakan.
“Tiada siapa terkecuali dalam tempoh pelaksanaan PKP. Kita tidak mahu mereka berada di luar kerana untuk mencegah wabak ini kita perlu kerjasama semua pihak,” katanya.
Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula di seluruh negara pada 18 Mac berkuat kuasa sehingga 14 April depan. - BERNAMA
from Sehinggit Media https://ift.tt/2UoEvwb
via Merah Hati Cintaku