SHAH ALAM – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam membuat laporan di Balai Polis Sungai Way berhubung kehilangan wang RM250,000 di kediamannya dekat Petaling Jaya, Selangor.
Menurutnya, polis dan ahli forensik sudah membuat siasatan di rumahnya sejak malam semalam.
“Saya berterima kasih kepada pihak polis di atas kerjasama yang sangat baik dan berharap kes ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan di Twitternya hari ini.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau menyedari kehilangan wang tunai yang disimpan dalam peti besi di kediamannya, kira-kira jam 7 malam, Sabtu lalu.
“Kali terakhir saya membuka peti besi tersebut pada 13 atau 14 Mac lalu. Tiada sebarang kesan umpil dan keadaan rumah serta bilik adalah kemas,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menafikan laporan media bahawa wang tunai berkenaan milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Saya harap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak sahih kepada orang ramai,” katanya.
Ketua Polis Daerah Pealing Jaya, Asisten Komisoner Nik Ezanee Mohd Faisal hari ini mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Sumber: Sinar Harian
from Sehinggit Media https://ift.tt/2xz4qIC
via Merah Hati Cintaku