Monday, 30 March 2020

Hanya Seorang Sahaja Dalam Satu Kenderaan


PUTRAJAYA - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang akan bermula Rabu ini hanya membenarkan seorang individu menaiki sebuah kenderaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, perkara itu diputuskan bagi mengehadkan pergerakan dalam usaha membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Bagi kenderaan persendirian, walaupun dibenarkan membeli makanan dan sebagainya kita tetapkan seorang dalam satu kenderaan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.


Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan menggalakkan kenderaan komersial yang membawa bekalan dan lain-lain beroperasi dari jam 7 malam hingga jam 7 pagi.

"Kita memahami bahawa masih banyak kenderaan komersial yang melibatkan barangan keperluan seperti makanan dan perubatan yang berada di atas jalan raya dari pagi sehingga malam.

"Kita membenarkan kenderaan itu beroperasi tetapi kerajaan menggalakkan kenderaan atau pengangkutan komersial bagi barangan keperluan beroperasi dari 7 malam sehingga 7 pagi," katanya.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, perkara itu hanya satu galakan dan bukan arahan.

"Ini kerana kita dapati ada kenderaan yang memerlukan jangka masa yang panjang untuk beroperasi," katanya.

Sumber: Sinar Harian


from Sehinggit Media https://ift.tt/2UuUitv
via Merah Hati Cintaku