SHAH ALAM - Majlis Setiausaha Pakatan Harapan mencadangkan Program Subsidi Upah bagi membayar RM600 sebulan untuk tiga bulan bagi 3.3 juta pekerja dinaikkan kepada RM1,200 sebulan bersamaan kadar gaji minima negara.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, langkah itu bukan sahaja akan membantu pekerja, tetapi juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan meringankan beban bayaran gaji serta membantu mengelakkan pekerja dibuang kerja.
"Jumlah lebih besar ini selari dengan usaha yang dilaksana di beberapa negara lain termasuk Singapura, United Kingdom dan Australia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Khalid Samad dan Dr Ong Kian Ming.
Jelas kenyataan itu, pakej rangsangan yang diumumkan oleh kerajaan pada 27 Mac lalu tidak menjelaskan rancangan fiskal yang mampu mengelak kehilangan pekerjaan akibat kesan ekonomi meleset terhadap syarikat-syarikat terutama PKS.
"Di Malaysia, PKS menyediakan 7 dari 10 pekerjaan di Malaysia dan memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhan serta pendapatan bagi Kerajaan melalui pembayaran cukai korporat.
"Maka bantuan tambahan amat diperlukan bukan sahaja demi membela kebajikan rakyat, tetapi juga nasib PKS," ujarnya.
Dalam pada itu, Majlis Setiausaha PH juga berpandangan keadaan ekonomi terutama enam bulan ke depan memerlukan perancangan rapi dan sokongan dwipartisan.
"Ini kerana kesan wabak Covid-19 terhadap ekonomi bersifat jangka masa panjang dan berupaya mengubah ekonomi global," katanya.
Sehubungan itu, mereka menggesa agar satu sidang Parlimen tergempar dipanggil bagi membincangkan masalah ekonomi Malaysia hari ini termasuk kerjasama dwipartisan bagi membendung wabak dan menyelamatkan negara.
Sumber: Sinar Harian
from Sehinggit Media https://ift.tt/2WY7Uiw
via Merah Hati Cintaku