Thursday, 21 November 2019

Mangsa Buli Lapor Polis, 10 Rakan Sekelas Ditahan Bantu Siasatan


PELAJAR tingkatan dua sekolah agama di Pasir Puteh dipercayai menjadi mangsa buli rakan sekelasnya yang kerap menyuruh dia menyiapkan kerja sekolah mereka.

Malah, mangsa juga dipukul kerana mempertahankan dirinya sebelum tekad membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh pada 9 pagi, hari ini.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 30 saat memaparkan pergaduhan antara mangsa dengan dua rakannya tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, kejadian buli itu berlaku pada 10.30 pagi semalam apabila mangsa berusia 14 tahun dipaksa menyiapkan kerja sekolah rakan-rakannya.


Katanya, mangsa enggan menurut arahan itu memandangkan cuti sekolah akan bermula dan menyebabkan dia dipukul beberapa kali dengan kaki dan tangan.

“Tidak tahan dipukul, mangsa bertindak membalas pukulan rakannya itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan polis dan mendakwa dia dibuli oleh rakan sekelasnya supaya menyiapkan kerja sekolah mereka, sejak sekian lama.

Susulan laporan mangsa, Abdullah berkata, pihaknya menahan 10 rakan sekelas mangsa berusia 14 tahun pada 11 pagi hari ini di Pasir Puteh.

“Kita mengambil keterangan semua pelajar berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Polis memandang serius kes buli di sekolah kerana boleh menyebabkan mangsa trauma.

“Kepada ibu bapa dan guru, kita minta supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka bagi mengelakkan kes buli ini berlaku kepada pelajar lain,” katanya.

Sumber: Harian Metro


from Sehinggit Media News https://ift.tt/2D3hiX9
via IFTTT