KUALA LUMPUR: Kekurangan kehadiran Ahli Parlimen kerajaan akibat keletihan hampir menggagalkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada Selasa.
Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul menegaskan, kekangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang terikat dengan beberapa program turut menyumbang ketidakhadiran ke Dewan Rakyat.
“Kalau kamu lihat dalam sesi bajet ini kita balik lewat, selalunya 10.30 malam dan semasa sampai di rumah pukul 12 malam.
"Kemudian mandi dan tidur pukul 1 pagi kemudian lewat bangun pagi untuk sesi pagi kerana kepenatan.
“Kita kena bincang dengan Yang DiPertua Dewan Rakyat supaya melihat balik bagaimana Ahli Parlimen boleh mendapat masa berkualiti kerana sekarang agak keletihan dan tidak produktif.
“Mereka juga dihimpit dengan banyak program dan tempat lain yang perlu diberi fokus juga. Memang kita ada jadual tugas tetapi ada yang ikut dan ada yang tidak,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.
Pada Selasa, sidang Dewan Rakyat tegang ketika sesi undian belah bahagi dilakukan bagi meluluskan RUU berkenaan berikutan masalah korum.
Pihak kerajaan bagaimanapun berjaya meluluskan RUU itu selepas menang tipis dengan empat undian, apabila Speaker, Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof, mengumumkan seramai 32 orang bersetuju berbanding 28 yang tidak setuju.
Pembangkang juga gagal meminta undian belah bahagi dibuat kali kedua dengan keputusan kekal berpihak pada kerajaan apabila 45 wakil rakyat bersetuju untuk RUU itu diluluskan, berbanding 28 tidak bersetuju.
RUU membabitkan kementerian itu digulung oleh Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh.
Dalam pada itu, jelas Johari, ketiadaaan Ahli Parlimen kerajaan mungkin disebabkan mereka di kafe atau bermesyuarat di lokasi lain di dalam Parlimen.
Pada 20 Oktober lalu, sidang ditangguhkan sebentar susulan bilangan Ahli Parlimen yang hadir didapati tidak cukup korum ketika sidang bermula.
Sementara pada 17 Oktober lalu, situasi sama pernah berlaku apabila jumlah Ahli Parlimen tidak mencukupi sewaktu perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2020.
Sumber: Astro Awani
from Sehinggit Media News https://ift.tt/2QReyEl
via IFTTT