Sunday, 24 November 2019

Pelajar Malaysia Hidap Leukemia, Meninggal Dunia Di Maghribi


PENUNTUT Malaysia di Universiti Mohammed V Rabat di Maghribi, Mohd Hafizuddin Hazrul, 20, yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Cheikh Zayd akibat leukemia sejak 3 November lalu meninggal dunia, 10.50 malam tadi.

Bapanya, Hazrul Abdullah, 50, berkata, dia mengetahui kejadian selepas dihubungi anak sulungnya, Siti Hajar Hazrul, 21, yang turut mengikuti Pengajian Islam di universiti yang sama bagi tahun kedua.

"Perkara ini sememangnya mengejutkan kami sekeluarga disebabkan sebelum Mohd Hafizuddin pergi ke Maghribi pada awal tahun ini dia sudah menjalani 'medical check up' (ujian kesihatan).

"Dia yang juga bekas pelajar Maahad Ahmadi Negeri Sembilan (MANS) Gemencheh, Negeri Sembilan seorang aktif dalam sukan.

"Sebelum dia ke sana (Maghribi) tiada sebarang masalah kesihatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, rakan arwah ada memberitahu sebelum arwah ke hospital itu dia mengalami demam dalam tempoh beberapa hari.


"Disebabkan masih tidak sembuh, rakannya membawa dia (arwah) ke hospital pada 3 November lalu sebelum doktor menempatkan dia di ICU hospital berkenaan.

"Lebih memilukan apabila doktor mengesahkan Mohd Hafizuddin menghidap leukemia yang mana keadaannya dilihat semakin lemah," katanya.

Hazrul berkata, pada 9 November lalu dia ke sana (Maghribi) bagi melawat anaknya itu dan pulang semula ke Malaysia, Isnin lalu.

"Arwah yang juga penuntut tajaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan dikebumikan di Kampung Bintungan, Rembau, Negeri Sembilan.

"Buat masa ini, Kedutaan Malaysia sedang menguruskan proses untuk membawa pulang jenazah yang dijangka tiba Isnin atau Selasa ini," katanya.

Harian Metro pada 8 November lalu melaporkan, Hazrul meminta orang ramai mendoakan kesihatan Mohd Hafizuddin agar dia dapat meneruskan semula pengajiannya.

Sumber: Harian Metro


from Sehinggit Media News https://ift.tt/2XGURQV
via IFTTT