JOHOR Darul Ta'zim (JDT) membuktikan betapa mereka berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah 3-0 dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Dalam perlawanan yang disaksikan 85,420 penonton, JDT tidak mempunyai masalah untuk mendominasi permainan dengan deretan peluang dicipta gergasi selatan tanah air itu sepanjang 90 minit perlawanan.
Anak-anak didik Benjamin Mora itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Leandro Velazquez tenang menyudahkan hantaran Gonzalo Cabrera pada minit ke-27.
Kedah cuba bangkit mencari gol penyamaan melalui satu-satunya peluang di babak pertama, namun tandukan kapten pasukan, Baddrul Bakhtiar pada minit ke-31 tersasar.
JDT terus melebarkan jurang gol melalui sepakan percuma menarik, Safawi Rasid pada minit ke-35 yang gagal ditepis penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.
Bersambung separuh masa kedua, Kedah terus gagal mencari jawapan kepada corak permainan pantas dan kemas JDT dan mereka sekali lagi dihukum dengan jaringan Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-57.
Lawrence Corbin Ong hampir menambah derita skuad kendalian Aidil Shahrin Sahak pada minit ke-67, namun rembatannya terus ke dakapan Mohd Ifwat.
Biarpun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada baki 30 minit terakhir perlawanan, keputusan tersebut kekal sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin.
Kemenangan itu menyaksikan JDT mengulangi kejuaraan Piala Malaysia pada 2017 selain meraih gelaran ketiga musim ini selepas menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah dan Liga Super.
Sumber: Sinar Harian
from Sehinggit Media News https://ift.tt/34pnc06
via IFTTT