Wednesday, 1 April 2020

Tempoh 14 Hari Terakhir PKP Bergantung Pada Disiplin Rakyat. Tolonglah Bagi Kerjasama!


Tempoh dua minggu terakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir 14 April ini menjadi penentu sama ada usaha untuk memecahkan rangkaian jangkitan Covid-19 berjaya ataupun sebaliknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil PKP bergantung kepada disiplin rakyat.

“Kita telah menyelesaikan dua minggu (PKP) dan dua minggu lagi terpulang kepada anda dan saya,” katanya ketika sidang media.

Menurutnya, kerajaan optimis dapat meratakan lengkungan kes dan mengelakkan kenaikan mendadak.

“Jika semua mematuhi perintah PKP dan kami di KKM akan meningkatkan pengesanan kes yang aktif, kita akan dapat pecahkan rantaian jangkitan tersebut,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan akan membuat keputusan sama ada tempoh PKP dilanjutkan atau tidak pada awal April ini bergantung kepada perkembangan terkini dan tiada kes positif yang mendadak dilaporkan.

Bimbang sekiranya kes naik mendadak

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham melahirkan kebimbangan sekiranya kes positif naik mendadak.

“Jikalau perintah PKP tidak berjaya, ramalan JP Morgan Chase & Co dan laporan Institut Kajian Ekonomi Malaysia bahawa negara ini mencapai kes kemuncak April ini akan menjadi kenyataan,” katanya.

Menurutnya, individu yang telah diarahkan untuk menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah perlu menepati arahan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Memang ada yang ingkar. Keluar dari rumah. Kita akan lihat kemungkinan untuk kuat kuasakan tindakan sama ada untuk terus tinggal di rumah atau tinggal di pusat kuarantin yang ditetapkan.

“KKM ingin menasihatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara perlu mengasingkan diri anda daripada bergaul rapat dengan ahli keluarga atau orang yang tinggal serumah dengan anda selama 14 hari, 24 jam sehari,” katanya.

Sumber: Sinar Harian


from Sehinggit Media https://ift.tt/39CjxOX
via Merah Hati Cintaku