Monday 27 April 2020

Timbalan Menteri Kesihatan & Exco Perak Akan Didakwa Di Mahkamah Esok Kerana Ingkar PKP


TIMBALAN Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco kerajaan negeri Perak Razman Zakaria akan didakwa di Mahkamah Majistret Gerik, esok atas pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumber polis ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.

Manakala, Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain yang dihubungi mengarahkan media pergi ke mahkamah untuk maklumat lanjut.

"Pergi ke Mahkamah Majistret Gerik pagi esok," katanya.


Sebelum ini, gambar Dr Noor Azmi bersama Razman dan beberapa individu lain tular di media sosial menghadiri jamuan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong ketika PKP bagi mengekang penularan Covid-19 dilaksanakan.

Difahamkan, beliau ketika itu membuat lawatan rasmi ke Klinik Kesihatan Lenggong untuk meninjau situasi semasa petugas kesihatan bagi menangani wabak Covid-19.

Bagaimanapun, hantaran gambar di akaun rasmi Facebook Dr Noor Azmi kemudian dipadamkan selepas warganet mendakwa mereka melanggar PKP.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol turut membuat hantaran gambar di akaun Facebook miliknya memaklumkan mereka menjamu hidangan kampung.

Bagaimanapun, kedua-dua individu terbabit kemudian memohon maaf di atas perbuatan mereka.

Sumber: Harian Metro


from Sehinggit Media https://ift.tt/2KACk2Y
via Merah Hati Cintaku