"PATUTLAH beberapa hari ini, hati saya mendesak supaya berpindah, rupa-rupanya rumah nak terbakar," kata Ghazali Baru, 63, selepas rumah sewanya di Jalan Nibong Stesen, Kampung Padang Jambu, Dungun, terbakar, petang hari ini.
Dalam kejadian 4.10 petang itu, Ghazali bersama isteri serta lapan anak bukan sahaja gagal menyelamatkan barangan berharga malah wang simpanan RM25,000 turut hangus.
Ghazali berkata, ketika kejadian, dia membersih persekitaran rumah manakala lima anaknya berusia empat hingga 14 tahun tidur.
Katanya, ketika itu isteri, Normah Abu Bakar yang berusia 45 tahun membantu rakannya menjual kuih dan dia bawa tiga lagi anaknya ke tempat kerjanya
"Ketika sedang membersihkan kawasan sekitar, saya terdengar beberapa letupan kecil dan api tiba-tiba sudah menyambar bahagian atap.
"Saya berlari ke bahagian dapur rumah dan ternampak api daripada balang gas membakar dinding rumah hingga ke atap.
"Saya masuk ke rumah dan membasahkan selimut sebelum menutup balang gas terbabit, namun gagal sebelum api marak membakar keseluruhan rumah, "katanya.
Ghazali berkata, dia meredah api sebelum menyelamatkan anak bongsunya yang tidur dalam sebuah bilik di rumah itu.
"Dua hari lalu, saya keluarkan wang simpanan RM25,000 untuk persediaan menyambut Aidilfitri, selain membeli pakaian raya anak manakala selebihnya saya nak buat modal berniaga.
"Saya juga mahu menyimpan semula sebahagian wang ke dalam bank hari ini, namun tidak sempat berbuat demikian kerana sibuk," katanya.
Menurut Ghazali, dia reda dengan kejadian dan bersyukur anaknya selamat.
"Buat sementara, kami akan menumpang di rumah saudara sebelum menyewa kediaman lain," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun Penolong Penguasa Bomba Mohd Aidil Khairim Abdul Wahab berkata, 10 anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.
"Sebaik tiba, api sudah marak membakar kediaman namun kami dapat mengawal api daripada merebak ke rumah sebelah.
"Kebakaran dipadamkan sepenuhnya 5.15 petang. Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Sumber: Harian Metro
from Sehinggit Media https://ift.tt/2SiJ5L4
via Merah Hati Cintaku