PUTRAJAYA: Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap COVID-19 mendapati terdapat satu daripada 30 strain mutasi virus tersebut boleh bertindak lebih ganas sehingga menjangkiti 120 pesakit lain.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia membabitkan kes ke-26, di mana mutasi tersebut dikesan pada kodon 15.
“Jadi, mungkin kes ke-26 ini menjangkiti (pesakit) kerana mutasi tersebut. Jadi, mutasi baharu lebih dahsyat dari segi jangkitan ataupun penularan dalam kalangan indvidu-individu terlibat, itu yang pasti,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah pun melakukan pengasingan virus dan kultur tersebut.
Namun, katanya tumpuan perlu dilakukan untuk mengkaji sama ada terdapat strain yang berbeza.
“Setakat ini yang kita pasti ialah lihat pada gelombang pertama dan peringkat awal gelombang kedua. Kes-kes kita adalah daripada strain B iaitu sama dengan di Wuhan, China berbanding dengan strain A di Amerika Syarikat (AS) dan strain C di Eropah.
“Tetapi apa yang kita perlu laksanakan ialah membuat kajian untuk gelombang kedua (membabitkan) pesakit-pesakit kita yang telah disahkan (positif COVID-19) dan pulang dari negara tertentu, contohnya. Jadi, kita masih melaksanakan pengasingan kultur dan kajian virus tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, penyelidik di Institut Genomik Bioperubatan Negara (NIBMG) India mendakwa mengesan 10 mutasi berbeza, di mana salah satunya disifatkan lebih berbahaya.
Jenis mutasi tersebut diklasifikasikan sebagai A2a dan disifatkan lebih cepat menular dalam kalangan manusia.
Sumber: Astro Awani
from Sehinggit Media https://ift.tt/2KHVd3U
via Merah Hati Cintaku