KUALA LUMPUR: Penghantaran pulang etnik Rohingya di Malaysia ke Myanmar, dilihat sebagai penyelesaian terbaik bagi polemik membabitkan etnik itu yang hangat dibincangkan dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini.
Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata saranan itu selaras keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Januari lalu, yang mengarahkan Myanmar mengambil langkah segera melindungi etnik Rohingya serta menyimpan bukti jenayah yang dilakukan terhadap mereka.
Shahul Hamid berkata, semua pihak perlu menyedari bahawa status asal etnik Rohingya di negara ini adalah pendatang tanpa izin (PATI) dan hanya diterima berlindung di Malaysia atas dasar kemanusiaan.
"Seperti mana kita menangkap PATI dari India, Pakistan atau negara lain, yang kemudian dihantar pulang ke negara asal, begitu juga boleh kita lakukan pada etnik Rohingya.
"Jaminan keselamatan mereka sebaik pulang ke Myanmar pula adalah di bawah tanggungjawab Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia bukan urusan kita.
"Dulu memang perkara ini tidak boleh dilakukan kerana Myanmar enggan menerima mereka, namun selepas keputusan ICJ, saya kira ini adalah langkah terbaik dan tiba masa untuk kerajaan bertindak tegas," katanya kepada BH, hari ini.
Polemik membabitkan etnik Rohingya di Malaysia timbul baru-baru ini susulan tersebar surat daripada Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani kepada kerajaan, menuntut etnik itu dibenarkan bekerja, mengurangkan kos rawatan mereka dan mewajibkan majikan yang menggajikan etnik Rohingya menyediakan perlindungan insurans.
Zafar Ahmad turut didakwa menuntut hak kerakyatan penuh dan mempertikaikan tindakan pihak berkuasa menghalang kapal membawa pelarian etnik itu daripada mendarat di negara ini, namun beliau menafikan pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu dan menyifatkannya sebagai tuduhan palsu, selain menafikan beliau melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Shahul Hamid berkata, langkah lain yang boleh dilakukan kerajaan ialah menempatkan etnik Rohingya di satu kawasan khusus, seperti dilakukan terhadap pelarian Vietnam yang ditempatkan di Pulau Bidong, Terengganu antara 1978 hingga 1990.
"Kita boleh tempatkan mereka di satu kawasan khas dan minta PBB uruskan, sama ada untuk hantar ke negara ketiga atau kembali ke negara asal," katanya.
Selain Rohingya, Shahul Hamid berkata, kerajaan juga perlu menghantar pulang semua pelarian lain yang memegang kad pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ke negara asal masing-masing secara berperingkat.
Jelasnya, ia termasuk lebih 50,000 etnik Chin, Mun dan lain-lain dari Myanmar, selain warga Sri Lanka, Syria, Yaman dan lain-lain.
"Hakikatnya, kita sudah tidak mampu menampung jumlah PATI atau pelarian yang terlalu ramai kerana negara sedang berdepan cabaran ekonomi, dan tumpuan kerajaan perlu fokus pada rakyat negara ini," katanya.
Menurut maklumat sumber, seramai 154,080 pelarian Myanmar berdaftar merangkumi 101,010 etnik Rohingya, Chin (22,810) serta lain-lain (30,250) direkodkan berada di negara ini setakat Februari lalu.
Selain itu, seramai 24,900 pelarian lain turut direkodkan berada di negara ini, antaranya 6,600 dari Pakistan, Yaman (3,680), Somalia (3,290), Syria (3,290), Afghanistan (2,590), Sri Lanka (1,830), Iraq (1,270), Palestin (790) dan lain-lain.
Sumber: BH Online
from Sehinggit Media https://ift.tt/2SkbZdO
via Merah Hati Cintaku