Thursday 30 April 2020

Semua Pesakit COVID-19 Di Perak Telah Sembuh Sepenuhnya


Semua 246 pesakit yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) dan di rawat di hospital di negeri ini sembuh sepenuhnya dan sudah dibenarkan pulang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming hari ini

"Kesemua hospital di seluruh Perak kini 'zero' pesakit Covid-19, Alhamdulillah,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan barangan keperluan petugas barisan hadapan

dan sumbangan kewangan untuk Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Kerajaan Negeri Perak bagi membantu rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19 di Pejabat Menteri Besar hari ini.

Bagaimanapun Ahmad Faizal yang memangku portfolio kesihatan negeri mengingatkan rakyat supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun banyak daerah di Perak diklasifikasikan sebagai zon hijau.

"PKP masih ada, yang kerajaan umumkan ialah boleh menaiki kereta dua orang tetapi alasan perlu munasabah


“Jika perlu keluar bersama dengan isteri atau berdua dalam kenderaan, tetap penjarakan sosial itu mesti diamalkan dan sentiasa membersihkan tangan dengan betul. Itu saya fikir satu budaya baharu yang kita perlu amalkan selamanya,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Perak.

Berdasarkan rekod sebelum ini, Perak mencatatkan 253 kes keseluruhan jangkitan positif Covid-19 dan enam daripada pesakit meninggal dunia manakala jumlah yang pulih dan dibenarkan pulang seramai 247 orang.

Difahamkan dua pesakit terakhir Covid-19 baru didiscaj malam semalam dan perkara itu telah dilaporkan ke Kementerian Kesihatan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut memberi penghargaan kepada badan berkanun negeri dan pihak swasta yang membantu kerajaan negeri dalam memerangi wabak Covid-19 serta meringankan beban rakyat dalam tempoh PKP.

Kataya, antara badan berkanun dan syarikat swasta yang memberi ialah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) yang memberikan sumbangan berjumlah RM260,000 iaitu hasil pemotongan elaun Ahli Lembaga Pengarah dan anak syarikat PPPNP dan kakitangan PPPNP.

Selain itu, Syarikat Renesas International bersama Syarikat Carsem (M) Sdn Bhd dengan sumbangan berjumlah RM240,000, Syarikat Kuala Lumpur Kepong Bhd (RM100,000), Syarikat Headlines International Sdn. Bhd (RM100,000).

Turut menyumbang, Syarikat My Vista dengan pemberian 1,000 unit pelindung muka kepada HRPB dan Syarikat Kangsor Hydro yang menyumbang RM50,000 serta 3,000 unit topeng muka.

Sumber: Sinar Harian


from Sehinggit Media https://ift.tt/2zJAcDY
via Merah Hati Cintaku