ENAM individu termasuk empat beranak didenda RM800 seorang oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini selepas mengaku bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Abdurrasad Arsad, 60; Salbiah Bain, 64; Raman Abdurrasad, 36; Rozana Abdurrasad, 28; Salmawati Safar, 27; dan Mohd Arifin Saiful, 23; masing-masing memahami pertuduhan yang dibacakan secara serentak di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama berhimpun di dalam sebuah van untuk menghadiri satu majlis kenduri Ramadan di rumah salah seorang ahli keluarga mereka di Simpang Tanah Merah Kampung Merotai Besar kira-kira jam 1.50 petang pada 23 April lalu.
Bagi kesalahan itu, mereka didapati melanggar Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Dg Nor Azarinawaty Ag Kachee manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, Dzul Elmy dalam penghakimannya menegaskan niat untuk menghadiri kenduri adalah baik, bagaimanapun acara keagamaan termasuk upacara akad nikah malah solat berjemaah di masjid juga ditangguhkan berikutan pelaksanaan PKP yang bertujuan mencegah penularan wabak Covid-19.
Beliau kemudian turut memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara 10 hari jika gagal membayar denda manakala bagi Salmawati Safar, dan Mohd Arifin Saiful, yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri masing-masing dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia sebaik selesai menjalani hukuman.
Sumber: Harian Metro
from Sehinggit Media https://ift.tt/2yINNuO
via Merah Hati Cintaku