Monday 27 April 2020

Timbalan Menteri, Exco Perak Didenda RM1,000 Langgar PKP


GERIK: Undang-undang tidak mengenal kedudukan dan hari ini, dua kenamaan didakwa bersama di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, 59, dan EXCO Perak, Razman Zakaria, 60, masing-masing didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh.

Turut didakwa bersama di mahkamah berkenaan ialah 13 individu lain termasuk adik Dr Noor Azmi, Noor Azman, 57, yang masing-masing didenda RM1,000 kerana mengingkari PKP.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh didapati berkumpul di kawasan jangkitan bagi tujuan sosial, sekali gus mengingkari PKP.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Maahad Tahfiz Al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah Kampung Luat di Lenggong antara jam 6 petang hingga 7 malam, 17 April lalu.

Mengikut fakta kes, sebelum berkumpul di sekolah terbabit, Dr Noor Azmi, Razman dan yang lain melawat Klinik Kesihatan Lenggong bagi melihat persediaan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak dalam mengawal wabak COVID-19.

Selepas melawat klinik berkenaan, tertuduh singgah di maahad tahfiz berkenaan bagi menunaikan solat Asar sebelum berkumpul di dewan untuk menikmati hidangan.


Pendakwaan dibuat mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Peraturan 2020.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar dan Mohamad Amri Alfikri Mohamad Dasuki manakala semua tertuduh diwakili peguam Nor Zahari Ismail.

Azhar berkata, semua tertuduh wajar menerima hukuman setimpal berdasarkan fakta kes.

Nor Zahari ketika mengemukakan rayuan, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan ia adalah kesalahan pertama semua tertuduh dan mereka menyesali tindakan terbabit, selain berjanji tidak mengulanginya pada masa depan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Norhidayati berkata, tertuduh memberi kerjasama baik dengan pihak polis sepanjang siasatan.

"Saya mengambil kira tujuan perhimpunan itu iaitu membantu masyarakat setempat mengekang penularan wabak COVID-19.

"Bagaimanapun, perhimpunan sedemkian (jamuan makan) tidak dibenarkan mengikut Peraturan 6(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Ia boleh membawa kepada penularan COVID-19 dan mendedahkan kepada virus berbahaya itu secara langsung," katanya.

Sehubungan itu, Norhidayati menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap setiap tertuduh atau penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Sementara itu, Dr Noor Azmi, dalam sidang media di luar mahkamah, memohon maaf atas kesilapan itu dan akur kepada undang-undang serta sistem kehakiman negara.

"Saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan terus berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Terdahulu, Dr Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, dan Razman yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, tiba di mahkamah pada jam 9.20 pagi.

Pada 18 April lalu, beberapa keping gambar Dr Noor Azmi, Razman dan beberapa individu berkumpul menikmati jamuan di Lenggong, tular di media sosial.

Kawalan di sekitar mahkamah diperketat dengan kehadiran polis selain media yang mula tiba seawal 7 pagi bagi membuat liputan prosiding kes Dr Noor Azmi dan Razman.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2YbhGhV
via Merah Hati Cintaku