Friday, 3 April 2020

Sebat Bukan Untuk Cederakan, Sekadar Peringatan Tegas - Musa Hassan


KUALA LUMPUR: Tindakan anggota polis menyebat remaja kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan untuk mencederakan, sebaliknya sekadar peringatan tegas kepada individu terbabit untuk tidak ingkar arahan pihak berkuasa.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata tindakan itu adalah wajar ketika negara berhadapan situasi getir dengan penularan COVID-19.

“Kerajaan sudah beri amaran akan mengambil tindakan tegas. Rakyat perlu akur dengan sebarang keputusan diambil pihak berkuasa.

“Tindakan sebat juga boleh dikenakan terhadap individu terutama remaja yang masih degil.

“Polis bukan rotan kuat pun, bukan macam rotan dalam penjara,” katanya pada BH, hari ini.


Mengulas pandangan segelintir individu yang tidak bersetuju tindakan sebat itu, Musa berkata mereka perlu mendalami maksud ungkapan ‘biar menangis sekarang daripada menangis di kemudian hari’.

“Lebih baik kita memberi peringatan tegas daripada tangkap mereka. Kalau boleh kita mahu elakkan remaja ini menyusahkan ibu bapa mereka.

“Nanti penjaga pula perlu pergi balai polis seterusnya naik turun mahkamah untuk menyelesaikan permasalahan timbul,” katanya.

Terdahulu, polis dilaporkan akan mengambil tindakan terhadap seorang pegawainya yang dilihat merotan enam remaja lelaki kerana ingkar PKP di Kunak, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, dipetik berkata jika dilihat dari sudut penguatkuasaan, tindakan pegawai itu memang tidak wajar, namun dari segi moral, itu adalah umpama seorang yang lebih tua memberi pengajaran kepada orang muda yang ingkar arahan.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/3bHyjoS
via Merah Hati Cintaku