Thursday 16 April 2020

PKP Fasa Tiga, Hantar Makanan Lebih 10km Tanpa Bukti Boleh Ditangkap


INDIVIDU yang menjalankan perkhidmatan penghantaran barang perlu menunjukkan kad pengenalan dan bukti pesanan makanan kepada anggota keselamatan yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri ini.

Pemeriksaan ketat menerusi PKP fasa tiga itu dibuat bagi memastikan jarak perjalanan penghantaran tidak melebihi 10 kilometer (km) selain mengelak kenderaan yang banyak jalan raya.

Gagal mengemukakan dua dokumen penting itu dan terbukti lokasi pelanggan melebihi 10km dari rumah membolehkan polis mengambil tindakan menangkap individu terbabit untuk direman sebelum dituduh di mahkamah bermula hari ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, tindakan tegas dan keras tanpa sebarang kompromi itu dilakukan berikutan masih ada yang sengaja melanggar syarat PKP dengan membuat penghantaran makanan melebihi jarak perjalanan dibenarkan.

“Kita juga mengambil tindakan sama kepada mereka yang memberi alasan remeh seperti keluar membeli makanan, berjumpa kawan, membeli kad prabayar dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.


Beliau berkata, rekod pemeriksaan kenderaan di SJR mendapati dalam 10 kenderaan yang diperiksa, tujuh memberi alasan menghantar pesanan makanan.

“Keadaan itu menyebabkan bilangan kenderaan di jalan raya pada waktu siang kembali meningkat berbanding PKP fasa satu dan minggu pertama PKP fasa dua yang berakhir semalam.

“Menerusi PKP fasa tiga ini, kita akan mengetatkan lagi penguatkuasaan dan individu yang ditahan akan didakwa terus ke mahkamah.

“Selepas ini tiada lagi kompaun dan hukuman mengikut Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dikenakan pihak mahkamah.

“Sabit kesalahan, mahkamah mengenakan hukuman penjara sehingga tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan seterusnya,” katanya.

Roslee berkata, bermula 18 Mac lalu sehingga semalam, polis menahan seramai 243 individu kerana ingkar PKP, manakala 111 individu dituduh, 173 orang dalam siasatan dan 20 individu dijamin polis.

Sumber: Harian Metro


from Sehinggit Media https://ift.tt/2XDZ8qk
via Merah Hati Cintaku