KUALA LUMPUR, 2 April — Lima hari di Unit Rawatan Rapi Hospital Sungai Buloh semasa dijangkiti virus COVID-19, adalah cabaran paling genting buat peneraju sambilan Bernama Radio Tengku Amylia Tengku Perang.
Tengku Amylia berkata berkat doanya yang tidak putus-putus serta berbekalkan semangat positif dan kata-kata semangat keluarganya, beliau bersyukur akhirnya sembuh.
Katanya, dia mengalami demam pada 8 Mac dan hanya disahkan positif pada 14 Mac setelah menjalani saringan apabila demamnya tidak kebah dan mengetahui kontak rapatnya positif pada 12 Mac.
“Malam pertama dimasukkan ke hospital, saya telah dipindahkan ke ICU apabila mengalami kesukaran bernafas,” katanya semasa menceritakan pengalamannya dalam program Temu Bual Radio di Bernama Radio yang dikendalikan oleh Raifanabillah Zulkifli.
Beliau yang bersyukur kerana cepat mendapatkan rawatan di hospital berkata: “Sakitnya hanya Allah yang tahu. Selain alat bantuan pernafasan, saya dimasukkan drip (tetesan intravena) kerana tidak berselera untuk makan dan minum.
Terlantar, tiada kekuatan
“Saya betul-betul terlantar sakit, tidak ada kekuatan langsung,” katanya dan menasihati orang ramai yang mempunyai simptom COVID-19 untuk tidak berlengah mendapatkan rawatan di hospital kerana hanya di hospital mereka akan dapat rawatan terbaik untuk pulih.
“Alhamdulillah saya sangat berterima kasih dengan petugas di Hospital Sungai Buloh kerana mereka menjaga saya seperti keluarga mereka. Layanan yang diberikan sangat baik sekali,” katanya.
Beliau yang masih 90 peratus sihat berkata pesakit perlu sentiasa positif dalam apa jua keadaan bagi mengatasi COVID-19 yang boleh membawa maut.
Tengku Amylia turut menasihatkan orang ramai agar tidak takut atau menyembunyikan sebarang maklumat jika terdapat simptom atau berisiko dijangkiti COVID-19.
“Jangan takut atau sembunyikan apa-apa kerana doktor tahu apa yang perlu mereka lakukan, apa nak buat dan beri pemantauan yang rapi jika kita dijangkiti,” katanya.
Tengku Amylia juga mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat yang tepat mengenai COVID-19 dan elak membuat spekulasi negatif mengenai pesakit COVID-19.
“Netizen kena faham betul-betul mengenai COVID-19 dan elak menyebar maklumat tidak sahih,” katanya.
Sumber: BERNAMA via Siakapkeli.my
from Sehinggit Media https://ift.tt/3dV0rXK
via Merah Hati Cintaku