Tuesday 12 January 2021

Rogol Berkali-Kali & Paksa Mangsa Makan Pil, Pendakwah Selebriti Turki Dipenjara 1,075 Tahun Kerana Jenayah Seksual


ISTANBUL: Seorang pendakwah televisyen terkenal di Turki dipenjara 1,075 tahun atas pelbagai kesalahan, sebahagian besarnya jenayah seksual.

Adnan Oktar, 64, dikenakan hukuman itu selepas disabitkan atas kesalahan serangan seksual, amang seksual, penipuan dan melakukan kegiatan pengintipan ketenteraan.

Pendakwah itu ditahan pada Jun 2018 oleh unit jenayah kewangan polis Istanbul dalam usaha pihak berkuasa melumpuhkan kegiatan kumpulannya.

Seramai 236 suspek lain turut dituduh di mahkamah dengan 78 daripada mereka ditahan.

Perbicaraan kes membabitkan pendakwah itu turut mendedahkan perincian dakwaan jenayah seksual yang mengejutkan.

Dalam satu perbicaraan, Oktar memberitahu mahkamah pada Disember lalu bahawa beliau memiliki 1,000 teman wanita.

"Hati saya penuh dengan perasaan cinta terhadap wanita. Cinta adalah kualiti seorang manusia. Ia adalah kualiti sebagai seorang Islam," katanya.

Seorang daripada wanita yang memberi keterangan dalam perbicaraannya, yang hanya dikenali sebagai CC, memberitahu mahkamah Oktar berulang kali merogolnya dan beberapa wanita lain.

Katanya, beberapa wanita yang dirogol itu turut dipaksa memakan pil perancang keluarga bagi mengelakkan kehamilan.

Ditanya mengenai penemuan 69,000 pil perancang keluarga di kediamannya oleh polis, Oktar berkata ia digunakan bagi merawat masalah kulit dan ketidaktentuan haid.

Oktar turut menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan kumpulan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) diketuai pendakwah, Fehullah Gulen, yang dituduh mendalangi cubaan rampasan kuasa pada 2016. - AFP



from Sehinggit Media https://ift.tt/2LrzIZi
via Merah Hati Cintaku