Sunday 17 January 2021

Remaja Jatuh Motosikal Bukan Ditendang Polis, Tapi Pecut Lari Hingga Langgar Kereta

Georgetown: Polis sudah menerima laporan daripada pemandu kereta berhubung kemalangan membabitkan dua remaja menunggang motosikal di Jalan Sri Tanjung Pinang, Tanjong Tokong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketika kejadian, tiga anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut sedang melakukan rondaan pada 5.20 petang.

Beliau berkata, anggota terbabit terlihat dua remaja menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

"Anggota terbabit mengarahkan mereka memberhentikan motosikal, namun kedua-duanya ingkar dan terus melarikan diri.

"Mereka tidak memberhentikan motosikal ketika di lampu isyarat merah dan terlanggar dengan kereta dipandu lelaki dari arah Georgetown menuju ke Tanjung Bunga," katanya menerusi kenyataan, di sini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua remaja berkenaan terbabas dan cedera.

Beliau berkata, pemandu kereta itu tidak cedera, namun keretanya mengalami kerosakan di bahagian depan.

"Sehubungan itu, polis menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung kejadian sehingga mengelirukan.

"Siasatan masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut di talian 010-9771517.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam kejadian itu, dua remaja terbabit dikatakan parah akibat terjatuh daripada motosikal yang didakwa ditendang dua anggota polis.

Gambar dan video kejadian itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi warganet.

Menerusi video berkenaan, ada penduduk tidak berpuas hati dan mendakwa anggota polis menendang motosikal ditunggang dua remaja terbabit.

Beberapa penduduk lain cuba menenangkan dua mangsa yang dirawat pasukan perubatan.

Sumber: Harian Metro



from Sehinggit Media https://ift.tt/38UzmDA
via Merah Hati Cintaku