WASHINGTON: Pada hari pertamanya di White House, bakal Presiden Amerika Syarikat ke-46, Joe Biden dijangka melaksanakan beberapa perintah eksekutif termasuk menarik balik larangan kontroversi terhadap beberapa negara Islam.
Satu memo disebarkan pada Sabtu oleh Ron Klain iaitu bakal Ketua Kakitangan White House yang dilantik Biden.
Memo tersebut menggariskan beberapa dasar daripada pentadbiran Presiden Donald Trump yang akan ditarik balik dalam 10 hari pertama Biden sebagai Presiden.
Antara arahan lain termasuk memperbaharui strategi kawalan penularan COVID-19, penyertaan semula dalam Perjanjian Perubahan Iklim Paris dan mengubah undang-undang imigresen bagi memberi kerakyatan kepada jutaan orang.
Sejurus selepas memasuki White House pada 2017, Trump mengeluarkan perintah eksekutif yang melarang pengembara dari tujuh negara majoriti Islam daripada memasuki Amerika Syarikat.
Arahan itu, bagaimanapun diubah suai beberapa kali sehingga mendapat kelulusan Mahkamah Agung pada 2018.
Menurut memo itu lagi, beberapa perkara turut akan diubah termasuk melanjutkan had tempoh masa mengusir penyewa dan pembayaran balik pinjaman pelajar yang berkait dengan pandemik serta satu penyelesaian bagi menyatukan semula anak-anak imigran yang terpisah daripada keluarga.
Biden turut merancang untuk mengusul undang-undang baharu bagi memberi kerakyatan kepada 11 juta orang tanpa dokumen yang tinggal di negara itu serta berjanji untuk memvaksinkan 100 juta orang dalam 100 hari pertama sebagai Presiden.
Upacara angkat sumpah Biden sebagai Presiden akan berlangsung pada 20 Januari ini.
Sumber: Astro Awani
from Sehinggit Media https://ift.tt/3nSSjdN
via Merah Hati Cintaku