Thursday, 8 December 2016

9 Petua Semulajadi Menghalau Lipas Yang Berparti Dalam Kereta Anda


“Arrgghh… Stresnya aku tengok anak-anak lipas yang berkeliaran dalam kereta ni. Manalah agaknya sarang dia. Tak boleh jadi, nanti dibiarkan makin seronok dia beranak-pinak. Apa petua menghalau lipas dan kaum kerabat dia semua sekaligus ya?”

Bila anak-anak duduk dalam kereta, biasanya mesti ada sisa makanan yang tertumpah atau tertinggal, bukan? Jadi, tak hairanlah kereta mudah menjadi tempat pembiakan lipas. Walaubagaimanapun, ada juga sesetengah kereta yang bersih dan masih menjadi kegemaran lipas. Puas kita halau, masih muncul lagi lepas beberapa hari.

Tapi, kalau asyik ‘spray’ berkali-kali, takut kita pula yang pening. Kesan bahan kimianya pula dikhuatiri membahayakan anak kecil. Jadi, apa yang patut buat?

Jangan risau, di sini kami senaraikan 9 petua menghalau lipas secara semulajadi. Tentu selamat dan sesuai bagi anda yang ada anak kecil.

9 PETUA MENGHALAU LIPAS DALAM KERETA

Berikut adalah 9 petua menghalau lipas dengan menggunakan bahan semulajadi. Mudah, tapi amat berkesan!

1. DAUN PANDAN

Salah satu cara paling mudah dan berkesan adalah menggunakan daun pandan. Baunya yang kuat dan wangi ini amat dibenci oleh lipas.

Caranya mudah, cuci terlebih dahulu dan hiriskan daun ini untuk mengeluarkan baunya. Kemudian, isikan dalam beg kain yang berjaring halus.

Kalau nak ikatkan dan letak terus dalam kereta pun boleh, tapi jangan biarkan sampai terlalu kering dan reput kerana nanti susah mencucinya. Malah, mungkin boleh menarik serangga lain pula.

2. DAUN DURIAN BELANDA

Daun durian belanda juga boleh digunakan untuk menghalau lipas. Caranya hampir sama dengan daun pandan di atas. Tapi, ada yang mengatakan ianya lebih berkesan apabila digunakan apabila daunnya telah kering.

Bagi anda yang meminum teh daun durian belanda, anda boleh cuba meletakkan uncang teh yang telah digunakan tersebut di dalam kereta.

3. SEMBURAN SERAI WANGI

Semburan serai wangi adalah salah satu alternatif semulajadi yang sesuai untuk mengelakkan lipas daripada bersarang dalam kereta anda.

Patinya boleh dibuat sendiri dengan air rebusan atau goreng dengan api perlahan. Campurkan dengan sedikit air dan masukkan dalam botol penyembur. Semburkan di seluruh kereta, terutamanya pada bahagian karpet.

Ada juga yang dijual terus sebagai produk penghalau serangga yang organik dan selamat digunakan.

4. BAKING SODA

Salah satu petua menghalau lipas yang berkesan adalah menggunakan baking soda. Ia bukan saja toksik terhadap lipas, tetapi ia boleh menyerap bauan sisa makanan yang mengundang lipas ke dalam kereta anda.

Taburkan selapisan baking soda ke atas karpet kereta dan biarkan beberapa hari sebelum anda memvakumkannya semula.

5. ‘GLUE TRAP’

Perangkap gam atau ‘glue trap’ banyak dijual di kedai-kedai dengan harga yang murah. Seeloknya, cari yang berlabel anti-toksik atau semulajadi.

Letakkan perangkap ini pada waktu malam kerana waktu inilah lipas-lipas sedang aktif. Ia perlu digunakan dan ditukar dengan kerap sehinggalah lipas-lipas ini hilang sepenuhnya.

6. PERANGKAP BOTOL MINUMAN

Salah satu perangkap yang paling mudah dibuat adalah perangkap botol minuman seperti yang dibuat oleh Puan Sharifah. Ambil botol air minuman dan tinggalkan sedikit sisa di dalamnya. Kemudian, biarkan botolnya terbuka dan selitkan botol pada tepi seat kereta dalam keadaan menegak. Dalam posisi ini, barulah lipas akan susah untuk memanjat keluar.

Biarkan semalaman atau 2-3 hari dan anda pasti akan mendapati ada banyak lipas yang terperangkap di dalamnya. Anda juga boleh mencampurkan sisa makanan dengan sedikit larutan baking soda untuk membunuh lipas tersebut.

Letakkan botol secara menegak seperti dalam gambar. / Foto Kredit: Puan Sharifah Aishah

7. LISTERINE

Salah satu petua menghalau lipas yang boleh anda cuba adalah menggunakan Listerine.

Penyegar mulut dan nafas ini boleh digunakan sebagai penyembur untuk menghalau lipas. Sebaiknya, pilih bau pudina yang paling kuat. Semburkan dalam kereta anda termasuklah di bahagian tersembunyi.

8. MINYAK AROMATERAPI

Bagi anda yang mempunyai koleksi minyak aromaterapi, bolehlah menggunakan wangian tea tree oil, peppermint atau lemongrass untuk menghalau lipas-lipas ini daripada terus bersarang dalam kereta anda.

Namun, jika masih ada telur-telurnya, mungkin ia tidak dapat menyelesaikan masalah ini dengan lebih cepat dan berkesan.

9. VAKUM BAWAH KARPET

Kebanyakan lipas ini bersarang di dalam rangka kereta kerana ianya sukar dicapai oleh manusia. Oleh itu, jika masalah ini berlarutan dan semakin teruk, cuba bawa kereta anda ke carwash untuk cuci bahagian karpet kereta atau bahagian-bahagian tersorok di bawahnya.

Mereka juga mungkin mempunyai solusi lain dan teknik tersendiri untuk membunuh lipas ini dengan pantas dan berkesan.

JAGA KEBERSIHAN DALAM KERETA

Dalam tempoh membunuh dan menghalau lipas ini, cuba elakkan daripada makan di dalam kereta. Jika ada sisa makanan, cepat-cepat bersihkan dan jangan tinggalkannya semalaman kerana lipas-lipas kereta ini dapat membiak dengan cepat!

Sumber: Sirap Limau


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2ghrXzE
via IFTTT