Kerajaan negeri akan menghantar cadangan balas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor secara mengejut.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini berikutan masih ada beberapa daerah di Selangor yang berada dalam zon hijau.
"Pengumuman PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya oleh Menteri Kanan (Keselamatan) sebentar tadi agak mengejutkan kerajaan negeri kerana keputusan mesyuarat tadi menunjukkan hanya Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling yang mempunyai bilangan kes yang membimbangkan.
"Sehingga hari ini, secara konsensus kerajaan negeri melihat ada beberapa cadangan tertentu yang boleh dikemukakan untuk pertimbangan MKN.
"Kerajaan negeri berpandangan bahawa beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal," katanya dalam satu kenyataan hari ini
Amirudin berkata, kerajaan negeri akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula.
"Kerajaan negeri berharap semua pihak bersedia dengan perubahan ini agar sama-sama kita berjaya mengawal penularan wabak Covid-19.
"Kerajaan negeri juga sangat menghargai komunikasi krisis yang lebih efektif dan konklusif membabitkan semua pihak agar sebarang ketetapan yang diambil tidak menghasilkan sebarang bentuk ketidaktentuan pelaksanaan yang akan memberi impak kepada petugas barisan hadapan, rakyat lebih-lebih lagi pengusaha industri kecil dan sederhana," katanya.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat MKN Selangor bersama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi untuk pelaksanaan PKPB di daerah Petaling berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 yang membimbangkan.
Sumber: Harian Metro
from Sehinggit Media News https://ift.tt/2SMjVV1
via IFTTT