Wednesday 14 October 2020

Perdana Menteri Mesti Dari Pemimpin UMNO, Itu Syarat Yang Sepatutnya

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berharap antara syarat baharu diletakkan UMNO kepada Perikatan Nasional (PN) adalah Perdana Menteri datangnya daripada parti itu.

Lokman berpandangan sedemikian kerana UMNO adalah parti yang mempunyai kerusi paling banyak dalam kerajaan PN sekarang berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti yang lain.

"Ini baru betul, yang majoriti tentukan hala tuju pemerintahan, bukan parti minoriti buli majoriti. Tahniah UMNO! Harap antara syarat yang diletakkan ialah UMNO Perdana Menteri, Bersatu TPM," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, sekiranya PN tidak bersetuju dengan syarat yang diberikan itu UMNO boleh sahaja keluar dari kerajaan dan menjadi pembangkang sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jika UMNO keluar dari PN dan tidak menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri Tan Sri Muhiyiddin Yassin tumbang.

"Anwar tak jadi Perdana Menteri dan pilihan raya umum dapat diadakan sebaik (koronavirus) Covid-19 reda. Tak lama mana pun,” katanya.

Terdahulu, UMNO dalam Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong gabungan politik PN.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu akan memberi syarat baharu kepada PN bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Sumber: Sinar Harian



from Sehinggit Media News https://ift.tt/314EUqr
via IFTTT