BRISBANE: Kajian mendapati virus COVID-19 boleh hidup di permukaan seperti wang kertas dan telefon sehingga 28 hari dalam keadaan sejuk lagi gelap, menurut Agensi Sains Kebangsaan Australia (CSIRO).
Penyelidik di pusat kawalan penyakit CSIRO melakukan kajian ke atas jangka hayat SARS-CoV-2 (nama saintifik COVID-19) dalam tiga suhu berbeza dan mendapati kadar 'survival' atau kemandirian virus itu menurun apabila suhu bertambah panas.
Saintis mendapati SARS-CoV-2 berada dalam keadaan teguh pada suhu 20 darjah selsius di permukaan licin seperti skrin telefon bimbit selain dapat hidup selama 28 hari di permukaan kaca, besi dan wang kertas.
Pada suhu 30 darjah selsius, kadar kemandirian virus itu menurun ke tujuh hari dan menjunam kepada 24 jam apabila suhu meningkat kepada 40 darjah selsius.
Kajian juga mendapati virus itu hanya mampu hidup sehingga 14 hari di permukaan berliang seperti kapas pada suhu terendah.
Pengarah Pusat Kawalan Penyakit Australia, Trevor Drew, berkata kajian itu membabitkan ujian sampel virus ke atas bahan berbeza, menggunakan kaedah 'sensitif melampau'.
"Ini tidak bermakna bahawa jumlah virus itu mampu menjangkiti seseorang.
"Jika seseorang individu cuai apabila mengendalikan barangan berkenan, seperti memegangnya dan kemudian menjilat tangan atau menyentuh bahagian mata atau hidung, dia mungkin dijangkiti dalam tempoh dua minggu," katanya.
Tambah Drew, kadar kelembapan dan panas yang melebihi 50 peratus didapati memudaratkan virus itu.
Menurut CSIRO, virus itu juga banyak tersebar menerusi udara tetapi masih banyak kajian perlu dibuat mengenai penyebaran menerusi permukaan barangan.
Bagaimanapun, jangkitan antara manusia adalah kaedah penularan yang jauh lebih berisiko tinggi berbanding menerusi permukaan barangan.
Sumber: BH Online
from Sehinggit Media News https://ift.tt/2FqcKii
via IFTTT