Saturday, 29 August 2020

UAE Mansuh Undang-undang Boikot Israel


DUBAI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan pada Sabtu bahawa negara itu memansuhkan undang-undang pemboikotan Israel selepas kedua-duanya membuat perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) untuk menjernihkan hubungan.

Presiden UAE, Sheikh Khalifa bin Zayed Al-Nahyan mengeluarkan perintah rasmi persekutuan memansuhkan Undang-Undang Persekutuan No.15 1972 mengenai pemboikotan Israel dan penalti, demikian laporan agensi berita WAM.

"Ia membenarkan untuk memasuki, menukar atau memiliki semua jenis barang dan produk Israel di UAE dan memperdagangkannya," katanya.

UAE menjadi satu-satunya negara Teluk dan negara Arab ketiga yang menjalinkan hubungan diplomatik penuh dengan Israel.

Langkah itu dikutuk rakyat Palestin yang menggambarkannya sebagai pengkhianatan.


Kini, syarikat dan individu di UAE boleh membuat perjanjian dengan firma atau individu yang menetap di Israel, lapor WAM.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengalu-alukan keputusan berkenaan dalam satu kenyataan pada Sabtu.

"Ini adalah langkah penting untuk memajukan kesejahteraan dan keamanan di rantau ini," katanya.

Langkah UAE disusuli ketibaan delegasi Israel-Amerika ke Abu Dhabi dalam penerbangan komersial pertama dari Israel pada Isnin.

Delegasi itu diketuai pembantu atasan dan menantu Presiden AS, Donald Trump iaitu Jared Kushner serta penasihat keselamatan Israel, Meir Ben Shabbat bertujuan mencari jalan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang termasuk penerbangan, pelancongan, perdagangan, kesihatan, tenaga mahupun keselamatan, menurut pejabat Netanyahu. - AFP


from Sehinggit Media https://ift.tt/3juDAUW
via Merah Hati Cintaku