Saturday 29 August 2020

Pelakon Black Panther, Chadwick Boseman Meninggal Dunia


Empat tahun berjuang melawan kanser usus, bintang filem Black Panther, Chadwick Boseman akhirnya tewas apabila menghembuskan nafas terakhir, Jumaat lalu.

Menerusi laporan AFP, bintang filem berusia 43 tahun itu meninggal dunia di kediamannya di Los Angeles di sisi isteri dan ahli keluarganya. Berita pemergian Boseman diumumkan keluarga melalui akaun Facebook aktor berkenaan.

"Dengan hati yang berat, kami ingin mengesahkan pemergian Chadwick Boseman. Beliau disahkan menghidap kanser usus tahap tiga pada 2016," tulis keluarganya.

Dalam ucapan berkenaan, keluarga Boseman mendedahkan beberapa filem lakonan mendiang yang berjaya memikat penonton termasuklah Marshall, Da 5 Bloods dan Ma Rainy Black Bottom yang menjalani penggambaran ketika mendiang sedang mendapatkan rawatan kimoterapi dan beberapa siri pembedahan.

Namun, Boseman tidak pernah mendedahkan penyakit yang dideritai kepada pengetahuan umum.

Dilahirkan di South Carolina, bekas graduan Unversiti Howard itu memulakan kerjaya lakonan pada 2002 dengan membawakan watak kecil dalam sebuah drama televisyen.

Namun, namanya mula menyinar selepas membawakan watak pemain baseball terkenal, Jackie Robinson menerusi filem 42 pada 2013. Namun, apa yang lebih menyedihkan, Boseman pergi pada tarikh hari memperingati bintang baseball itu.


Kemunculan menerusi filem blockbuster terbitan Marvel bermula Captain America: Civil War yang mana Boseman diberikan kepercayaan membawakan watak Kapten T'Challa sebelum muncul filem Black Panther, dua tahun kemudian. Laungan Wakanda Forever daripada filem popular digunakan di seluruh dunia.

Pemergian Boseman bukan sahaja diratapi keluarga, malahan peminat dan rakan selebriti terkejut dengan berita pemergiannya.

Bintang Captain America, Chris Evan dalam entri yang dimuat naik menerusi akaun Instagram (IG) mengakui terkejut dengan berita kematian sahabatnya itu.

"Berita yang cukup meremuk hati. Boseman, seorang yang istimewa. Seorang bintang filem asli. Beliau sangat komited dan memiliki sikap ingin tahu. Tidak ramai pelakon yang memiliki kuasa dan berkebolehan sepertinya.

"Memiliki deretan karya hebat dan banyak lagi yang belum dilaksanakan. Saya beruntung dengan persahabatan kami. Doa dan ingatan saya untuk keluarganya. Berehatlah dengan hebat, King," tulis Chris Evan.

Sepanjang pembabitannya dalam bidang seni, Boseman pernah meraih beberapa anugerah antaranya Persembahan Terbaik dalam Filem dan Hero Terbaik menerusi MTV Movie & TV Awards pada 2018 melalui filem Black Panther.

Beliau juga pernah memenangi Persembahan Paling Menyerlah menerusi Screen Actors Guild Awards dan NAACP Image Awards pada 2019.

Boseman muncul adiwira kulit hitam pertama dalam filem francais Marvel, Black Panther 2018.

Filem yang berlatar belakang kerajaan fiksyen Wakanda, Afrika menjadi filem komik pertama dicalonkan untuk gambar terbaik dalam Anugerah Oscar dan meraih lebih AS$1 bilion (RM4.17 bilion) di seluruh dunia.

Beliau muncul dalam drama perang, Da 5 Bloods, baru-baru ini dan bakal muncul dalam sekuel Black Panther dijadualkan pada 2022.

Boseman meninggalkan isteri, Taylor Simone yang juga seorang penyanyi. Mereka dikatakan baru sahaja mendirikan rumah tangga sebelum meninggal dunia. - AFP


from Sehinggit Media https://ift.tt/3b6DXlx
via Merah Hati Cintaku