Friday, 13 January 2017

Bayi cedera jatuh di rumah pengasuh, alami pendarahan dalam mata


JOHOR BAHRU - Gara-gara kecuaian pengasuh, seorang bayi berusia 3 bulan mengalami kecederaan yang serius pada organ dalaman dan terpaksa menjalani pembedahan.

Dalam kejadian 9 November lalu, ibu bapa bayi berkenaan menerima panggilan dari pengasuh untuk datang mengambil anak mereka.

Terdahulu, mangsa dihantar ke rumah pengasuh berkenaan dalam keadaan yang sihat dan ceria. Namun terkejut apabila bapanya datang mengambil anaknya dalam keadaan lemah dan mata hanya separuh terbuka, lalu dibawa ke klinik berdekatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan.

Dalam masa yang sama juga, pengasuh terbabit berkali-kali menegaskan mangsa tidak terjatuh semasa di bawah jagaannya.

Pemeriksaan awal mendapati, mangsa mengalami pendarahan dalam mata, limpa bengkak, buah pinggang dan hati bahagian kiri ada pendarahan dan pundi kencing masih ada darah. Mangsa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA.

Menurut bapanya, Helmie Al Maliqul, akibat dari kecederaan itu juga, anaknya mengalami sawan berulang kali dan berada dalam keadaan kritikal. Namun selepas hari keenam dirawat di HSA, mangsa dilaporkan stabil dan tidak mengalami sawan. Tetapi masih dibawah pemantauan pihak hospital.



17 November 2016, mangsa semakin pulih | Foto - Helmie Al Maliqul

"Alhamdulillah, anak semakin pulih. Tiub pernafasan sudah dibuka, kaki dan tangan sudah bergerak-gerak, mata dah buka dan memberi respon apabila dipanggil," kata Helmie pada 14 November lalu.

Bagaimanapun pada 23 Disember lalu, pihak hospital mengesan terdapat darah beku dan darah asing di belakang matanya akibat luka kejadian itu.

"Di peringkat awal, doktor beri ubat titik yang kuat untuk tengok progress dalam satu minggu. Kalau ada perubahan baik, tak perlu menjalani pembedahan. Kalau sebaliknya, kena bedah," kata Helmie.

"Anak ini tak tahu apa-apa. Dia masih tidak faham apa yang berlaku pada diri dia. Mendengar suara ibu, bapa dan abangnya tetapi dia tidak nampak kehadiran kami. Tetapi dia tetap ikhlas ketawa gembira kerana kami masih ada di sisi.

"Anak kecil yang tidak tahu apa itu pembedahan terpaksa merasai keperitan itu semua. Mengapa ada manusia sekejam itu menghadiah pengalaman ini buat anak kami?" luah Helmie di Facebook pada 3 Januari lalu, meskipun redha dan pasrah.


Gambar terkini mangsa, selepas selamat menjalani pembedahan di HKL semalam | Foto - Helmie Al Maliqul

Semalam, bayi pasangan berkenaan yang kini berusia 4 bulan itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan pada jam 7.30 pagi. Pada jam 1.55 petang semalam, mangsa selamat dibedah dan masih berada di HKL untuk pemantauan pihak hospital.

Difahamkan, ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis pada hari kejadian tersebut berlaku untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sumber: The Reporter


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2ik0BP1
via IFTTT