Sejak minyak petrol RON95 dan RON97 diperkenalkan di Malaysia, banyak perdebatan yang memperkatakan bahan api yang mana yang lebih baik. Terdapat beberapa aspek yang penting yang perlu diambil kira seperti kos, jarak dan kualiti petrol itu sendiri.
Namun, adakah tindakan anda dalam memilih jenis petrol untuk kenderaan anda selama ini tepat?
Apa itu RON?
RON adalah singkatan dari istilah “Researched Octane Number” atau dalam bahasa mudahya jumlah rantaian kimia octane dalam sesuatu bahan api. Ia adalah sejenis penanda aras untuk menentukan kualiti dan prestasi untuk bahan api, terutamanya petrol.
Sistem gred bahan api ini diperkenalkan oleh Russell Marker, pada tahun 1926. Pengkaji dari Amerika ini menjumpai hubungan antara bilangan rantaian hidrokarbon dalam bahan api akan mempengaruhi kadar pembakarannya.
Jadi, perbezaan antara RON95 dan RON97 adalah bilangan rantaian hidrokarbonnya yang berbeza, di mana RON97 mempunyai lebih banyak rantaian berbanding RON95.
Semakin tinggi nombor RON, semakin tinggi bilangan rantaian hidrokarbon, (hydrocarbon branching). Semakin tinggi bilangan rantaian hidrokarbon, semakin ia lama ia mampu bertahan ketika dimampatkan dalam enjin sebelum ia terbakar.
Semakin lambat ia terbakar, semakin tinggi tenaga yang terhasil dari pembakaran bahan api. Semakin tinggi tenaga yang terhasil untuk setiap pembakaran, semakin jimat penggunaan bahan api.
Jadi, penggunaan RON97 adalah lebih menjimatkan, bukan?
Tidak semestinya.
Setiap kenderaan mempunyai keupayaan enjin yang tersendiri. Lain enjin, lain kadar pemampatan (compression) bahan apinya. Cara yang terbaik untuk menentukan minyak yang terbaik bagi kenderaan anda adalah berdasarkan manual yang diberikan oleh pengeluar kenderaan anda.
Selain itu, ia juga bergantung kepada kecekapan kenderaan anda mengawal penggunaan bahan api. Sesetengah kenderaan moden dilengkapi sistem penjimatan bahan api dan dikawal oleh sistem komputer (ECU – electronic control unit).
Apabila kenderaan dilengkapi oleh ECU, sistem ini akan mengawal jumlah bahan bakar yang diperlukan dalam sesuatu masa. Ia juga mampu membezakan gred bahan api yang anda tuang dalam kenderaan ada.
Jika kenderaan anda tidak mempunyai ECU, enjin anda tidak akan dapat membezakan kualiti dan jenis minyak yang anda bekalkan-sama ada RON95 atau RON97 yang lebih mahal.
Jadi, mengapa mahu bayar lebih mahal untuk minyak yang berkualiti lebih tinggi sedangkan kenderaan anda tidak mampu membezakan pun kualiti minyak tersebut?
Betul ke kenderaan mahal perlu pakai minyak mahal?
Seperti yang dibincangkan pada awal artikel, setiap pengeluar kenderaan (baik kereta atau motosikal) akan memberitahu anda jenis petrol yang patut anda gunakan.
Selalunya, enjin kenderaan yang mahal dan eksotik (supercar) memerlukan minyak yang lebih berkualiti. Ini kerana enjin yang lebih besar kapasitinya mempunyai kadar mampatan (compression ratio) yang lebih tinggi.
Lebih tinggi kadar mampatan, lebih berkualiti jenis petrol yang diperlukan. Jika kenderaan ini terlalu kerap diisi dengan petrol yang rendah kualitinya, ia boleh menyebabkan pembaziran bahan api dan lebih teruk, enjin kenderaan tersebut juga boleh rosak.
Untuk panduan asas, kenderaan yang mempunyai enjin yang tinggi kadar mampatannya, seperti Type-R Honda Civic, penggunaan petrol RON97 dan RON 98 adalah wajib. Terdapat sesetengah pendapat yang mengatakan, enjin yang mempunyai kapasiti 2.0 dan keatas perlu menggunakan petrol yang lebih mahal.
Walau apapun teorinya, anda perlu merujuk kepada manual kenderaan anda dan menggunakan petrol seperti yang disyorkan dalam panduan tersebut.
Betul ke petrol yang lebih mahal, jaraknya akan lebih jauh?
Jujurnya, penggunaan minyak yang lebih berkualiti tinggi seperti RON97 kepada kenderaan yang sepatutnya menggunakan petrol RON95 tidak akan menambahkan jarak yang boleh dilaluinya.
Ini kerana, walaupun petrol RON95 yang dijual pada harga yang lebih murah tidak bermaksud bahawa ia lebih kurang baik dari RON97. Tidak semua enjin sesuai untuk menggunakan RON95 kerana terdapat enjin yang perlu menggunakan RON97.
Ibarat nasi lemak dan chicken chop. Orang Malaysia lebih gemar menikmati nasi lemak, manakala orang Barat lebih menggemari Chicken chop. Kedua-dua nasi lemak dan chicken chop adalah makanan dan kedua-dua orang Malaysia dan orang Barat boleh menikmati kedua-duanya.
Bezanya, nasi lemak lebih murah dan lebih selesa dinikmati oleh orang Malaysia. Chicken chop yang mahal pula lebih digemari oleh orang Barat. Begitu juga dengan enjin. Lain enjin, lain kemahuan jenis petrolnya.
Jika kenderaan anda tidak disarankan untuk menggunakan petrol RON97, maka lebih baik untuk anda terus menggunakan petrol RON95 sahaja. Ini kerana secara statistik, masih belum ada bukti bahawa RON97 akan memberikan jarak yang lebih jauh bagi kenderaan yang direka untuk menggunakan petrol RON95.
Jadi apa perlu saya buat sekarang?
Sebagai kesimpulan, suka untuk diingatkan bahawa jarak perjalanan yang boleh dilalui oleh setiap petrol tidak bergantung kepada jenis petrol, tapi lebih kepada kecekapan enjin kenderaan itu sendiri dan corak pemanduan setiap pemandu.
Sebagai contoh, pemanduan di lebuh raya yang lancar akan memberikan jarak yang lebih jauh berbanding pemanduan kenderaan ketika tersangkut didalam kesesakan lalu lintas. Pemandu yang sering memecut dan menggunakan brek secara kerap juga bakal menggunakan lebih banyak bahan api.
Kenderaan yang mempunyai sistem penjimatan minyak yang lebih moden juga akan mempunyai jarak yang jauh berbanding kenderaan yang tidak memiliki teknologi tersebut.
Oleh itu, jangan lupa untuk membelek buku panduan manual anda dan baca sendiri, petrol jenis apa yang perlu anda tuang ke dalam tangki minyak anda apabila anda berkunjung ke stesen minyak selepas ini. – Pescao55.com
from :) http://ift.tt/2jtxLKV
via Mudahnya Memasak Di Dapur