Kuala Lumpur: “Saya tidak berdendam walaupun mereka tergamak membelasah saya sedemikian rupa,” kata pemandu lori yang dibelasah sekumpulan lelaki selepas terlanggar kereta milik lelaki bergelar Datuk di apartmen di Bukit Antarabangsa, 2.15 petang, Sabtu lalu.
Akibat daripada kejadian itu, mangsa yang yang hanya mahu dikenali sebagai Izhar, 25, menerima 13 jahitan bermula dari bawah telinganya hingga ke leher.
Menceritakan kejadian itu, Izhar berkata, kejadian berlaku sekitar 2 petang apabila dia cuba untuk keluar dari kawasan berkenaan.
“Selesai menghantar barang di situ, saya terus ke lori untuk keluar daripada tempat parkir. Namun ketika itu saya tidak menyedari sebuah kereta diparkir terlalu hampir dengan lori saya.
“Akibatnya saya terlanggar bahagian depan kereta terbabit sekali gus mencetuskan kemarahan pemandunya. Selepas itu saya dipukul bertubi-tubi oleh beberapa lelaki di situ,” katanya.
Menurutnya, dia yang berada dalam keadaan lemah kemudian dibawa oleh rakannya ke hospital berhampiran bagi mendapat rawatan.
“Biarlah polis melakukan kerja mereka. Saya pun bukan siapa-siapa, hanya pemuda yang mencari rezeki dengan memandu lori,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan polis sudah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.
"Walaupun kedua-dua pihak sudah bersetuju untuk menyelesaikan kes terbabit sendiri tetapi kita tidak boleh menerimanya. Tindakan dilakukan mereka seolah-olah negara ini tiada undang-undang.
"Saya mengarahkan Ketua Polis Daerah Ampang untuk mengesan mereka yang bertindak memukul pemandu lori berkenaan dan suspek juga sudah dikenal pasti,” katanya pada sidang media majlis Pelancaran Ops Selamat 10/2017 di Persada Plus, di sini.
from :) http://ift.tt/2jxs8dn
via Mudahnya Memasak Di Dapur