Tuesday 30 June 2020

Virus Selesema Babi Berpotensi Jadi Pandemik Di China


WASHINGTON: Penyelidik di China menemui sejenis virus selesema babi dinamakan G4 dari genetik H1N1 yang dilihat berupaya bertukar menjadi pandemik.

Menurut kajian diterbitkan jurnal sains Amerika Syarikat (AS), PNAS, yang memetik laporan penulis dan saintis di universiti China selain Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, ia memiliki semua ciri penting yang mampu menjangkiti manusia,

Sejak 2011 hingga 2018, penyelidik mengambil sampel ujian dari hidung babi di rumah sembelihan di 10 wilayah China dan hospital veterinar bagi membolehkan mereka mengasingkan 179 virus selesema babi.

Menurut pemerhatian, G4 adalah virus mudah berjangkit, meniru sel manusia dan menyebabkan simptom serius terhadap musang yang dijadikan bahan eksperimen berbanding virus lain.


Malah, ujian juga menunjukkan sebarang pertahanan diri manusia yang terdedah dengan musim selsema sebelum ini tidak memberi perlindungan daripada G4.

Berdasarkan ujian darah terhadap antibodi yang terhasil akibat terdedah kepada virus itu, 10.4 peratus pekerja kandang babi sudah dijangkiti, tetapi sehingga tiada bukti ia boleh berpindah daripada manusia kepada manusia.

"Ini menjadi satu kebimbangan bahawa jangkitan virus G4 akan meningkatkan risiko pandemik terhadap manusia pula," kata penyelidik yang menggesa langkah segera dilakukan bagi memantau pekerja di kandang haiwan itu.

Ketua Jabatan Perubatan Veterinar di Universiti Cambridge, James Wood, berkata kajian itu menjadi peringatan bahawa semua berisiko terhadap kemunculan patogen zoonotik baru.

"Haiwan ternakan yang sentiasa berdekatan dengan manusia berupaya bertindak sebagai sumber virus pandemik," katanya.

Jangkitan zoonotik disebabkan oleh patogen daripada haiwan kepada manusia. - AFP


from Sehinggit Media https://ift.tt/2BW2sUI
via Merah Hati Cintaku